suria

Perkeso, SPRM sepakat siasat kes tuntutan palsu insentif PenjanaKerjaya

PenjanaKerjaya merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan kerajaan bertujuan untuk merangsang pewujudan pekerjaan oleh para majikan. Foto: The Star

SEJAK kebelakangan ini kecoh dengan berita sebilangan individu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu di bawah dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) sejak dua tahun lalu.

Susulan itu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama penuh dalam menjalankan siasatan berhubung kes tuntutan palsu membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan di seluruh negara, melalui 'Ops Hire'.

Menurut Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, Ops Hire yang dilaksanakan secara bersepadu bermula Rabu lalu bermatlamat membanteras penyelewengan dana kerajaan tersebut setelah SPRM dan Perkeso menjalankan pemantauan dan risikan terhadap penerima dana PenjanaKerjaya.

Ujarnya, hasil risikan sejak Mei tahun lalu mendapati ada antara majikan yang mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Beringat sebelum kena... Perkeso lancar Ops Cegah elak kemalangan libatkan pekerja

"Perkeso memandang serius isu penyelewengan ini kerana bantuan kewangan kerajaan bertujuan untuk meringankan beban pihak yang layak serta benar-benar memerlukan, mengikut syarat dan kaedah yang ditetapkan.

"Dalam menangani isu ini, Perkeso telah mengambil tindakan proaktif dengan menggantung bayaran Program PenjanaKerjaya berjumlah RM423 juta.

"Tindakan penggantungan bayaran tersebut dibuat berdasarkan penganalisian data dan pemantauan berterusan oleh Bahagian AntiFraud, Etika & Integriti (AFEI), Perkeso.

"Pada masa yang sama, AFEI juga berkerjasama rapat dengan Bahagian Kewangan dan Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso untuk memastikan setiap permohonan yang diterima dapat disemak sepenuhnya dengan teliti, sebelum bayaran dibuat kepada penerima insentif," ujarnya dalam kenyataan tersebut.

Katanya, sehingga kini jumlah bayaran yang telah dibuat oleh Perkeso kepada para majikan dan pekerja di bawah Program PenjanaKerjaya adalah sebanyak RM2.34 bilion, membabitkan seramai 45,379 majikan bagi menempatkan 327,789 pencari kerja ke dalam pekerjaan.

Program PenjanaKerjaya merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan kerajaan bertujuan untuk merangsang pewujudan pekerjaan oleh para majikan, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan seterusnya, mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.

"Perkeso amat menekankan nilai integriti, kejujuran dan amanah dalam pengagihan bantuan kewangan Kerajaan kerana ia melibatkan dana awam.

"Sehubungan itu, Perkeso mengingatkan para majikan supaya jujur dan dan berintegriti dalam mengemukakan permohonan untuk apa-apa program bantuan Kerajaan termasuk PenjanaKerjaya yang dilaksanakan oleh agensi ini.

"Mana-mana majikan yang telah menyalahgunakan dana Program PenjanaKerjaya ini atau mengemukakan permohonan tanpa mengikut syarat-syarat yang ditetapkan adalah diminta untuk tampil dan membuat bayaran balik secara sukarela, atau berhubung dengan pihak Perkeso bagi menyelesaikan isu ini sebelum sebarang tindakan diambil," tegas beliau.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Penjana Kerjaya, Ops Hire, Perkeso, SPRM

Artikel Lain