suria

Polis ambil keterangan hendak tahu apa sebenarnya berlaku... Serah isu kematian pengasas Dnars kepada Wisma Putra, Interpol

Faziani maut dalam kemalangan di Pattani, Thailand, pada 2019.

SUSULAN laporan polis berkaitan kematian pengasas produk kosmetik Dnars, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad, isu tersebut diserahkan kepada Kementerian Luar (Wisma Putra) dan Polis Antarabangsa (Interpol).

Perkara itu disahkan oleh Polis Kelantan pada Isnin.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun bagaimanapun berkata, pihaknya tidak membuka kertas siasatan.

Sebaliknya, katanya, pihak polis mengambil keterangan terhadap individu terlibat sebagaimana laporan yang dibuat oleh pengadu.

"Dia (pengadu) buat laporan, jadi kita akan ambil keterangan kerana hendak tahu apa sebenarnya berlaku kerana laporan itu terlalu umum.

"Bagaimanapun untuk siasatan apa yang dipertikaikan, masalah semasa kejadian dan apa yang berlaku kita akan rujuk (hantar) pada Wisma Putra dan Interpol," katanya ketika sidang media selepas merasmikan perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga pelik urusan bawa balik jenazah pengasas Dnars terlalu cepat... Selepas 3 tahun abang minta SPRM siasat

ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas Dnars terkorban dalam perjalanan sampaikan sumbangan ke tahfiz Pattani

Muhamad Zaki berharap, pihaknya diberikan ruang untuk meneliti satu persatu laporan yang diterima bagi memberi keadilan kepada semua.

"Keadilan ini mesti mempunyai fakta yang tepat dan polis tidak mahu masyarakat membuat andaian sendiri.

"Ini bukan siasatan kes kematian tetapi siasatan berkait laporan yang dibuat sama ada ia benar atau tidak.

"Hal kematian dan kemalangan itu sudah disiasat di sana (Thailand) dan perkara tersebut telah lama berlaku," katanya.

Beliau menjelaskan, dalam siasatan dalaman dilakukan, pihaknya akan meneliti individu yang disebutkan dalam laporan polis sekiranya ia boleh membantu siasatan.

"Siasatan tersebut terarah kepada apa yang didakwa oleh pengadu.

"Kejadian ini berlaku sekian lama mungkin berdasarkan percakapan saudara mara, rakan-rakan menyebabkan ia menimbulkan curiga," katanya.

Katanya, jika ada kebenaran polis akan rujuk pihak berkuasa negara jiran untuk siasatan lebih lanjut.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan ahli keluarga kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare tampil membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lebih lanjut dilakukan berhubung kematian Allahyarhamah Faziani.

Usahawan kosmetik itu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand pada 18 Mei 2019. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain