suria

Gaya hidup luar biasa, raih pendapatan hingga 5 angka! Tiba masa influencer, peniaga muda laksana tanggungjawab bayar cukai

Peniaga muda mengusahakan bisnes online. Gambar hiasan foto RAJA FAISAL HISHAN/The Star

BOLEH buat duit!

Begitulah penangan platform media sosial seperti Instagram, Twitter, Facebook serta TikTok, sehingga ramai individu menggunakan peluang tersebut untuk berniaga.

Siapa sangka kebanyakan mereka merupakan anak muda, sama ada menjadikan bisnes online sebagai kerjaya serius mahupun sebagai pendapatan sampingan.

Dunia digital hari ini yang semakin canggih mempengaruhi lebih ramai generasi muda untuk memulakan perniagaan sendiri, sehingga berjaya meraih pendapatan lumayan.

Memang wow apabila melihat golongan muda semakin ramai berkongsi kehidupan mewah hasil daripada kejayaan dan keuntungan dalam perniagaan masing-masing.

Daripada barangan berjenama, kereta mewah, rumah banglo sehingga kereta Lamborghini dan Mustang serta percutian bukan biasa-biasa, semuanya dipaparkan di media sosial mereka.

Perkongsian sebegini bagus dijadikan inspirasi kepada generasi muda yang lain untuk turut sama berjaya, namun dari sisi lain pula ia memperlihatkan mereka hidup dalam serba kemewahan dengan kekayaan melimpah ruah.

Jadi, kenapa tidak sekiranya keuntungan perniagaan tersebut dikongsi bersama melalui cukai yang dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL).

pic paid content LHDNM 4

Keuntungan perniagaan dikongsi melalui cukai yang dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL).

Influencer

Diangkat sebagai influencer di media sosial, mereka bukan sahaja dikenali ramai, malah memperoleh pendapatan lumayan menerusi bisnes dan reviu yang dilakukan.

Memiliki jumlah pengikut yang begitu ramai sehingga berjuta-juta, pendapatan yang diperoleh mereka juga pastinya bukan biasa-biasa.

Sebenarnya ramai masih tidak menyedari bahawa influencer media sosial juga dikenakan cukai pendapatan individu ke atas perniagaan mereka.

Influencer ini dikategorikan sebagai Individu Berpendapatan Perniagaan, yang mampu meraih pendapatan sehingga lima angka sebulan. Wow, lumayan kan?

Berdasarkan kajian oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 29 Disember 2020, hampir 90 peratus daripada rakyat Malaysia mempunyai telefon pintar dan akses kepada internet.

Maka tidak hairanlah semakin banyak syarikat atau perniagaan mempromosikan produk mereka secara dalam talian yang lebih dekat dengan pengguna serta murah berbanding pengiklanan di media cetak, radio dan televisyen.

Di sinilah influencer memainkan peranan dalam membantu mengiklankan produk menerusi kerjasama bersama syarikat atau klien.

Daripada Instafamous, YouTubers, TikTokers dan banyak lagi golongan influencer dengan pengikut yang ramai akan menerima bayaran lumayan daripada pengiklanan tersebut.

Pendapatan yang diterima influencer itulah dikenakan cukai dan mereka perlu mendaftar dengan HASiL sebagai pembayar cukai.

Tidak pasti pendapatan yang boleh dikenakan cukai bagi kategori individu, anda boleh rujuk di laman HASiL, www.hasil.gov.my > Perkhidmatan > Individu > Pengenalan Cukai Pendapatan Individu > Bila Dikenakan Cukai.

pic paid content LHDNM 1

Cukai pendapatan merupakan sumber pendapatan tertinggi negara yang digunakan untuk perbelanjaan pembangunan dan mengurus.

Kongsi rezeki

Berdasarkan Bajet Kerajaan Persekutuan 2022 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia, kutipan cukai pendapatan merupakan sumber kewangan negara yang tertinggi iaitu 35.7 peratus berbanding sumber-sumber lain seperti cukai tidak langsung, cukai langsung lain, hasil bukan cukai serta pinjaman dan penggunaan aset kerajaan.

Melalui sumber kewangan inilah kerajaan menggunakannya untuk perbelanjaan pembangunan dan mengurus negara.

Sebagai influencer mahupun peniaga online, peranan anda bukan saja di media sosial malah sebagai pembayar cukai yang memberi banyak manfaat kepada rakyat Malaysia.

Kerajaan mengeluarkan peruntukan yang besar demi memastikan kemakmuran negara dan rakyat. Ketika negara diuji dengan wabak Covid-19, fasiliti khusus diwujudkan bagi merawat pesakit-pesakit dan sumber kewangan itu datang daripada cukai pendapatan yang dibayar oleh pembayar cukai.

Hasil kutipan cukai ini juga membantu golongan kurang bernasib baik apabila banyak syarikat dan perniagaan kecil terpaksa gulung tikar, dan buktinya dapat disaksikan menerusi banyak bantuan daripada kerajaan seperti Bantuan Khas Covid-19 dan Geran Khas Prihatin.

Anda merupakan influencer yang sebenar dan peniaga boleh mencari keberkatan dalam perniagaan, dengan berkongsi rezeki bersama rakyat Malaysia yang lain.

Baru-baru ini tular di media sosial, seorang suami terkejut apabila hanya perlu membayar kos perubatan isterinya berjumlah kurang RM20 walaupun isterinya telah dirawat lebih dari tiga hari di sebuah hospital kerajaan.

Orang ramai turut berkongsi pengalaman sama di ruangan komen pada hantaran tersebut. Terima kasih pembayar cukai kerana sumbangan mereka membantu meringankan beban kewangan orang lain.

pic paid content LHDNM 3

Rakyat dapat menikmati subsidi hasil sumbangan pembayar cukai. foto video ‘Terima Kasih’ di LhdnTube

Layak bayar cukai

Anda sudah semak dan layak membayar cukai?

Mudah saja, anda boleh mendaftarkan fail cukai pendapatan sebaik saja perniagaan dimulakan kerana individu berpendapatan perniagaan ini secara automatik layak membayar cukai tanpa mengira jumlah minimum pendapatan tahunan.

Jika belum ada Nombor Cukai Pendapatan, daftar secara dalam talian menerusi aplikasi e-Daftar di https://edaftar.hasil.gov.my/ dan pilih Borang Pendaftaran Online.

Nombor Cukai Pendapatan boleh diperoleh dalam tempoh tiga hari bekerja selepas permohonan dibuat.

Kepada influencer termasuk mereka yang menjana pendapatan menerusi media sosial, jom lapor pendapatan perniagaan anda, bagi tahun 2021 dalam Borang B di https://mytax.hasil.gov.my/ dengan menggunakan e-Filing dan bayar cukai pendapatan melalui ByrHASiL mulai 1 Mac 2022 sehingga 30 Jun 2022.

Sebagai pengguna e-Filing, tambahan masa diberikan sehingga 15 Julai 2022 untuk lapor dan bayar cukai pendapatan.

pic paid content LHDNM 2

Sebagai pengguna e-Filing, tambahan masa diberikan sehingga 15 Julai 2022 untuk lapor dan bayar cukai pendapatan.

Rujukan

Anda masih kurang faham tentang tanggungjawab untuk membayar cukai?

Jangan bimbang, anda boleh mendapatkan khidmat nasihat tersebut menerusi sesi taklimat oleh HASiL yang dilaksanakan secara berkumpulan sama ada mewakili syarikat, persatuan dan lain-lain.

Sesi taklimat boleh dijalankan secara bersemuka di premis anda atau secara dalam talian menggunakan webinar dengan menghantar permohonan menerusi emel ke [email protected]

Fahami apa itu cukai dan kepentingannya kepada negara dan rakyat.

Jom laksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai dengan sebaik mungkin demi menjamin kemakmuran dan kesejahteraan Keluarga Malaysia di https://mytax.hasil.gov.my/

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain