suria

Kes kematian pelajar UUM masih dalam siasatan - Menteri

Dr Noraini semua pihak yang terlibat bersabar dan menunggu hasil siasatan berhubung kes kematian pelajar berusia 21 tahun itu.

KES kematian pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Vinosiny Sivakumar masih dalam siasatan, kata Dr Noraini Ahmad.

Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, kementerian sedang menunggu laporan penuh makmal mengenai punca sebenar kematian pelajar berusia 21 tahun itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar UUM ditemui mati dalam bilik asrama, disyaki terkena renjatan elektrik

"Terdapat sekurang-kurangnya tiga laporan iaitu daripada Hospital Sultanah Bahiyah, Jabatan Kimia Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, yang diperlukan untuk melengkapkan siasatan terperinci.

"UUM juga memberi komitmen kepada kementerian untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkaitan agar siasatan yang telus dapat dijalankan dengan sempurna.

"Kami berharap semua pihak yang terlibat bersabar dan menunggu hasil siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis (26 Mei).

Noraini dalam masa yang sama mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) itu.

Pada Isnin (23 Mei), Vinosiny yang juga pelajar tahun dua jurusan perakaunan itu ditemui mati di dalam bilik asramanya.

Sebuah video yang dimuat naik di laman YouTube mendakwa mangsa meninggal dunia akibat renjatan elektrik.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain