suria

Ujian makmal sahkan kanak-kanak 3 tahun dijangkiti HFMD, bukan cacar monyet

Kanak-kanak berkenaan disahkan dijangkiti penyakit HFMD virus Coxsackie A6. Gambar hiasan

UJIAN sampel yang dibuat ke atas seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang didakwa dijangkiti cacar monyet (monkeypox), mengesahkan mangsa sebenarnya dijangkiti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) virus jenis Coxsackie A6.

Perkara berkenaan dimaklumkankan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut Dr Noor Hisham, kanak-kanak berkenaan sebelum ini dibawa ke Klinik Kesihatan Batu 14, Selangor untuk membuat pemeriksaan kerana mengalami gejala demam sejak 13 Mei lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: KKM tak terima sebarang laporan cacar monyet merebak ke Malaysia, orang ramai jangan sebar berita tak sahih

"Pada 16 Mei, ada ruam dan kemudiannya ruam ini menjadi 'blister' pada 19 Mei dan mula pecah pada 21 Mei.

"Kanak-kanak ini dipantau di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Dua sampel telah diambil di mana Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan membuat pengujian untuk beberapa jenis virus termasuk HFMD dan monkeypox (cacar monyet).

"Keputusan ujian mengesahkan HFMD positif virus Coxsackie A6 dan negatif penyakit cacar monyet serta lain-lain virus," katanya dalam ciapan di Twitter, pada Khamis.

Sebelum ini, tular satu perkongsian di media sosial kononnya penyakit itu sudah merebak ke Malaysia.

Perkongsian berkenaan turut disertakan dengan gambar seorang kanak-kanak yang mempunyai simptom seperti penyakit cacar monyet pada bahagian tangannya.

Susulan itu, KKM dalam kenyataannya baru-baru ini memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang notifikasi berhubung jangkitan virus berkenaan di negara ini.

Menurut KKM, waris kanak-kanak tersebut wajar mendapatkan rawatan segera jika benar apa yang didakwa dalam posting tersebut.

"Sekiranya gambar tersebut adalah benar, waris kepada kanak-kanak tersebut dinasihati untuk membawanya ke fasiliti kesihatan kerajaan berdekatan dengan segera untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan," demikian kenyataan berkenaan.

KKM juga menasihati orang ramai supaya tidak menularkan berita yang tidak diketahui kesahihannya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain