suria

Pihak berkuasa Australia sedang lakukan ujian DNA mangsa - Ayob Khan

Polis tunggu keputusan DNA dari pihak berkuasa Australia.

LAPORAN lengkap berhubung kematian seorang lelaki dipercayai warga Malaysia di Australia yang dikaitkan dengan sindiket dadah, masih belum diterima.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, difahamkan pihak berkuasa Australia sedang membuat laporan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ahli keluarga mangsa yang berada di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki Malaysia dibunuh di Australia, dipercayai jaga 1,000 pokok ganja untuk kumpulan jenayah Asia Tenggara

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kehilangan lelaki Malaysia terungkai, rupa-rupanya mati dibunuh di Australia

"Siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Australia.

"Setakat ini kita (JSJN) masih menunggu laporan lengkap dari pihak sana (Australia) dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan nanti," katanya pada Rabu.

Tambah Ayob Khan, pihaknya juga sedang menunggu maklum balas dari pihak berkuasa negara berkenaan sekiranya wujud kaitan sindiket dadah di Australia dan Malaysia.

Pada Selasa, Ayob Khan dalam kenyataan berkata, pihak berkuasa Australia telah menemui satu rangka manusia di New South Wales pada Ahad lalu yang dipercayai telah dibunuh lebih dari setahun yang lalu.

Hasil semakan mendapati mangsa dipercayai warga Malaysia berumur 25 tahun dan berasal dari Sarawak.

Ayob Khan berkata, mangsa dipercayai telah memasuki Australia pada November 2016 dengan menggunakan visa pelancong dan ditawarkan sebagai pekerja ladang oleh satu sindiket warga asing yang disyaki terlibat dengan dadah. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain