suria

Pesakit diabetes lebih cenderung alami gejala Covid-19 yang serius

Khairy Jamaluddin turut menyatakan diabetes membawa kepada penyakit serius lain seperti serangan jantung.

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin menyatakan satu daripada lima rakyat Malaysia menghidap diabetes dan ini menjadikan pesakit kencing manis lebih terdedah kepada jangkitan Covid-19 dan mempunyai simptom yang serius.

"Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 mendapati peratusan pesakit diabetes di Malaysia telah meningkat daripada 13.4 peratus pada 2015 kepada 18.3 peratus pada 2019.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak ada masalah kalau nak puasa tetapi pesakit diabetes perlu ikut 4 perkara ini

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir 4 juta penduduk Malaysia hidap diabetes... tiba masanya ubah gaya hidup, 3 cara ini paling mudah!

"Laporan ini menunjukkan bahawa satu daripada lima orang dewasa berumur 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap diabetes.

"Ia bersamaan dengan hampir empat juta rakyat Malaysia,” katanya pada pelancaran maya kempen Perang Melawan Diabetes oleh Selangor FC dan syarikat farmaseutikal Sanofi Aventis Malaysia pada Rabu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Putera Mahkota Selangor Tengku Amir Shah, yang juga pengerusi Selangor FC.

Beliau berkata diabetes juga membawa kepada penyakit serius lain seperti serangan jantung; penyakit berkaitan penglihatan seperti glaukoma dan katarak; penyakit buah pinggang yang kronik; serta masalah saraf dan pergigian, termasuk strok.

Khairy berkata penghidap diabetes adalah tiga hingga empat kali lebih berkemungkinan dijangkiti simptom Covid-19 yang serius berbanding individu yang tidak mempunyai penyakit itu.

"Kencing manis bukan sahaja dikaitkan dengan pengambilan gula secara berlebihan, malah ia juga berkait rapat dengan pemakanan tidak terkawal dan amalan gaya hidup tidak sihat.

"Jadi adalah penting untuk kita semua mengekalkan diet yang sihat dan seimbang serta mengamalkan gaya hidup aktif,” katanya.

Khairy menggesa ibu bapa supaya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak mereka dengan mengamalkan tabiat hidup sihat. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain