suria

Umat Islam kembali solat terawih berjemaah, PM seru jangan leka SOP rai Ramadan

Ismail Sabri mengingatkan rakyat agar sentiasa mematuhi SOP dalam kegembiraan meraikan Ramadan. Foto: Bernama

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam di negara ini, dan dalam masa yang sama mengingatkan rakyat agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 setiap masa.

Beliau berkata ramai umat Islam akan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Ramadan pada tahun ini, selepas tidak berpeluang melakukannya sebelum ini kerana situasi pandemik Covid-19 yang belum reda.

"Kita memberi sedikit kelonggaran tetapi penggunaan topeng muka masih diwajibkan di tempat awam. Jangan leka serta terus amalkan kawalan kendiri," kata Ismail Sabri dalam ucapan khas sempena Ramadan, pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Umat Islam di Malaysia mula berpuasa Ahad ini

Ujarnya, rakyat Malaysia perlahan-lahan dapat kembali ke kehidupan normal ketika negara beralih kepada fasa endemik Covid-19.

"Pada Ramadan tahun ini, umat Islam boleh menunaikan solat fardhu dan terawih berjemaah, serta meraikan program berpuasa, tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri," kata Ismail Sabri.

Beliau juga berkata bulan Ramadan adalah peluang bagi umat Islam untuk bermuhasabah diri dan meningkatkan amalan.

"Semoga bulan Ramadan dapat memperkuatkan aspek rohani Keluarga Malaysia dan pada masa sama amat penting bagi umat Islam memelihara hubungan bukan sahaja dengan Maha Pencipta tetapi juga dengan sesama manusia.

"Sekali saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan selamat berpuasa kepada seluruh Keluarga Malaysia beragama Islam. Ramadan disyukuri, insafi diri," katanya lagi.

Umat ​​Islam di Malaysia akan mula berpuasa pada Ahad sebagaimana pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad pada Jumaat. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain