suria

Larikan motosikal milik kakitangan hospital, pesakit Covid-19 maut gara-gara menunggang secara lawan arus

Mangsa maut di tempat kejadian selepas terbabas. Foto: Sinar Harian

TIDAK sampai dua jam selepas melarikan sebuah motosikal milik kakitangan hospital, seorang pesakit Covid-19 maut selepas kenderaan yang ditungganginya terbabas.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, pesakit berusia 66 tahun itu telah melarikan sebuah motosikal jenis Honda C100 milik kakitangan Hospital Hulu Terengganu yang diparkir di kawasan surau hospital kira-kira jam 6.30 pagi.

Mangsa kemudian menghala ke arah Wakaf Tapai, Marang sebelum terbabas di Kilometer 28 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit Covid-19 larikan diri, polis buru warga emas

Dalam insiden berlaku jam 8 pagi Isnin, mangsa maut di lokasi kejadian.

"Apabila sampai di persimpangan Bukit Perpat, mangsa telah menunggang motosikal secara melawan arus menghala ke sebuah kilang sebelum tiba-tiba terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di susur keluar berkenaan. Mangsa kemudiannya terjatuh di atas pembahagi jalan berumput," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa merupakan pesakit Covid-19 yang dikuarantin di Hospital Hulu Terengganu bermula 10 Mac lalu.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan punca kematian masih dalam siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Lain