suria

Mohd Khairuddin umum keluar PAS, jadi wakil rakyat bebas

Mohd Khairuddin mengumumkan dirinya keluar dari PAS foto LOW BOON TAT/The Star

AHLI Parlimen PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengumumkan keluar dari parti itu, berkuat kuasa pada Isnin.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyiddin Hassan di Parlimen, kira-kira pukul 2.30 petang Isnin.

Menurut ahli Parlimen Kuala Nerus itu, beliau kini merupakan wakil rakyat bebas di Dewan Rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Khairuddin nafi gosip dengan bekas isteri pelakon

ARTIKEL BERKAITAN: Khairuddin diperiksa ketika lalui SJR di Perasing, siasatan sedang dilakukan - Polis

Sementara itu, memetik Sinar Harian, beliau mengucapkan terima kasih kepada PAS atas peluang menjadi ahli parti itu sejak 1989.

"Merujuk kepada Perlembagaan PAS Fasal 15 (1)(a) Keberhentian Ahli dengan permintaan sendiri dan (2) seseorang ahli bolehlah memaklumkan keberhentiannya daripada menjadi ahli dengan bersurat kepada Setiausaha Agung, maka saya pemegang nombor keahlian PAS 313899 memohon untuk berhenti daripada menjadi ahli PAS.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PAS atas peluang menjadi ahli sejak 1989 selama 33 tahun dan seterusnya menjawat pelbagai jawatan kepimpinan sejak 1999 daripada AJK, pimpinan negeri, Dewan Ulamak Negeri dan Pusat, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak dengan jawatan tertinggi dan terakhir sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulamak sehingga 2022," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Isnin.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain