suria

Pegawai kanan polis maut, tembak kepala sendiri di rumah

Seorang pegawai kanan polis dipercayai maut selepas menembak kepalanya sendiri.

SEORANG pegawai polis berusia 35 tahun maut selepas dipercayai menembak dirinya sendiri di kepala dengan menggunakan pistol di sebuah rumah di Jalan Selingsing, Kuala Lumpur pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian itu dimaklumkan kepadanya selepas Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menerima panggilan daripada Sistem MERS 999 kira-kira jam 3.30 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga beradik tinggal bersama mayat ketika pandemik, wanita dihempap lelaki bunuh diri antara jenayah ngeri 2021

ARTIKEL BERKAITAN: Pakar psikologi kongsi tip berdepan individu mempunyai kecenderungan bunuh diri

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa lelaki merupakan seorang pegawai kanan yang kini sedang berkhidmat di IPD Dang Wangi.

"Siasatan awal dipercayai mangsa telah menembak dirinya sendiri di bahagian kepala dengan menggunakan sepucuk pistol.

"Pihak ambulans telah sampai ke tempat kejadian dan pegawai perubatan yang bertugas telah mengesahkan kematian mangsa pada jam 3.59 petang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti dan masih dalam siasatan pihak polis dan kes ini telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Pihak Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini untuk tampil memberikan keterangan ataupun menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan Foo Keat How di talian 012-7461500 atau boleh juga menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul ditalian 03-40482206," katanya. - Sinar harian - Sinar harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain