suria

Akhirnya kesemua 7 rakyat Malaysia terkandas dibenar masuk Filipina

Antara pengembara dari Malaysia yang sebelum ini terkandas di lapangan terbang di Manila.

KESEMUA tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila sebelum ini dibenarkan memasuki Filipina.

Menurut Wisma Putra, ia susulan tindakan pantas yang dilakukan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Manila.

"Wisma Putra dengan sukacitanya memaklumkan bahawa tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino dibenarkan memasuki Filipina, berikutan tindakan pantas Kedutaan Malaysia di Manila. Kudos team @myembassymanila," tulis Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) di laman Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Sijil vaksinasi dalam MySejahtera tak diterima, 15 pelancong Malaysia terkandas di Manila

ARTIKEL BERKAITAN: Kedutaan Besar Malaysia bantu 15 rakyat terkandas di Manila

Terdahulu, dilaporkan Kedutaan Besar Malaysia membantu 13 rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino untuk memasuki Filipina.

Bagaimanapun, Wisma Putra mengesahkan jumlah rakyat Malaysia yang terlibat ialah tujuh orang dan bukan seperti yang dilaporkan.

Mereka tidak dibenarkan masuk ke republik itu dan dimaklumkan bahawa sijil vaksin digital Malaysia dalam aplikasi MySejahtera bukanlah bukti vaksinasi yang boleh diterima.

Pengembara yang terjejas memberitahu media Malaysia bahawa pasport mereka telah dirampas dan diberitahu bahawa mereka akan dihantar pulang pada Selasa.

Mereka juga terpaksa berada di lapangan terbang buat sementara waktu kerana tiada kemudahan hotel disediakan.

Turut dilaporkan bahawa Duta Besar Malaysia ke Filipina bertemu sendiri dengan para penumpang yang terkandas di lapangan terbang dan sedang mengemukakan rayuan timbal balik vaksinasi.

Namun, buat masa ini masih belum menerima maklum balas daripada pihak berkuasa Filipina. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain