suria

Orang ramai boleh pilih mod pembayaran digital di tol tidak lama lagi

Touch ‘n Go untuk tol lebuh raya juga akan ditamatkan pada 2025 dan lorong SmartTag akan dimansuhkan secara berperingkat.

ORANG ramai tidak lama lagi dapat membuat pembayaran tol lebuh raya menggunakan mana-mana penyedia pembayaran digital dan bukan hanya Touch 'n Go, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Kad Touch ‘n Go untuk tol lebuh raya juga akan ditamatkan pada 2025 dan lorong SmartTag akan dimansuhkan secara berperingkat, katanya dalam temu bual dengan portal berita Free Malaysia Today.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan ketinggalan! Segera pasang tag RFID kalau tak nak bersesak, semua laluan PLUS, LPT2 sedia lorong RFID April ini

ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian, lagi 62 plaza tol laksana RFID mulai 1 Januari

“Tidak lama lagi, terpulang kepada orang ramai untuk menggunakan mana-mana mod pembayaran digital – sama ada anda mahu menggunakan Touch 'n Go eWallet, kad debit atau kredit, atau Visa atau Mastercard atau apa-apa jenis sistem pembayaran (elektronik), selagi terdapat pautan yang tersedia di lebuh raya," katanya.

Beliau berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang berusaha untuk memastikan ia memudahkan orang ramai menggunakan kaedah pembayaran dalam talian.

“Kami telah mendengar permintaan rakyat untuk membuka lebih banyak (pembayaran dalam talian) dan kami sedar orang ramai merungut bahawa mereka perlu membayar lebih awal untuk Touch 'n Go sama ada mereka menggunakan (lebuh raya) atau tidak,” katanya.

Pelaksanaan itu bagaimanapun bergantung kepada kadar penggunaan RFID (Pengenalan Frekuensi Radio) selepas mencapai kadar yang memuaskan dan apabila syarikat konsesi lebuh raya bersedia untuk berhubung dengan penyedia pembayaran dalam talian tambahan

Hanya satu tag RFID diperlukan untuk tujuan itu, katanya.

Tambahnya, syarikat konsesi lebuh raya telah diarahkan supaya bersedia untuk melaksanakan sistem aliran bebas berbilang lorong (MLFF) menjelang 2025, iaitu sistem tol tanpa halangan, tanpa pondok tol dan tiada lorong khusus.

Sistem MLFF menggunakan struktur gantri yang dilengkapi dengan pengecaman plat nombor automatik (ANPR) di lokasi tertentu.

“Sekiranya kami merasakan akan ada sedikit kelewatan oleh beberapa syarikat konsesi lebuh raya, kami mungkin mempertimbangkan model pelaburan swasta atau inisiatif kewangan swasta untuk mengambil alih (sistem MLFF).

"Model pelaburan swasta adalah untuk sistem terbuka. Seperti yang anda lihat terdapat banyak lebuh raya di negara ini dan semua sistem perlu disepadukan. Jika kita lihat di Singapura dan Taiwan, mereka mempunyai kawalan autoriti tunggal, " katanya.

Fadillah berkata terdapat beberapa elemen yang perlu diperhalusi LLM sebelum melancarkan sistem MLFF, termasuk aspek peraturan, prosedur penguatkuasaan, pembangunan infrastruktur, kadar penembusan RFID dan pelan komunikasi untuk pelaksanaan MLFF.

Fadillah menambah, sistem MLFF merupakan faktor utama dalam rangka tindakan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) untuk rangkaian lebuh raya masa hadapan.

Sementara itu, peringkat perintis ANPR sedang dijalankan di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), katanya.

“Kami juga sedang melihat cadangan untuk perkongsian awam-swasta atau PFI, tertakluk kepada perbincangan lanjut dengan syarikat konsesi LEKAS dan satu lagi projek perintis di Lebuhraya Besraya tidak lama lagi,” katanya. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain