suria

Didakwa penggal kepala ibu, suspek pernah dipenjara kerana peras ugut mangsa pada 2014

Suspek akan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

LELAKI yang didakwa memenggal kepala ibunya pada Sabtu pernah disabitkan kesalahan memeras ugut mangsa dan pernah menjalani hukuman penjara atas jenayahnya.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa, siasatan mendapati suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti dadah sejak empat tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis ibu maut dipenggal anak... suasana hiba, hanya bacaan al-Quran di rumah mangsa

Tambahnya, suspek sebelum ini disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Suspek pernah dipenjarakan (di bawah Seksyen 506) pada 2014, tetapi tiada rekod dadah,” katanya.

Beliau berkata pada hari jenayah ngeri itu dilakukan, adik-beradik suspek cuba menghubungi ibu mereka tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas dan memutuskan untuk melakukan pemeriksaan di rumah.

Apabila tiba, dia melihat darah di lantai dan cuba mengejutkan suspek yang kemudiannya berlari ke dalam semak berhampiran rumah mangsa.

Satu panggilan dibuat kepada polis pada 5.45 petang Sabtu.

Suspek berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira 50 meter dari rumah mangsa dengan bantuan penduduk kampung.

“Suspek berada di bawah pengaruh dadah dan ujian saringan air kencing didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.

“Polis turut merampas sebilah parang di dalam bilik air rumah itu.

“Siasatan kami mendapati suspek dan mangsa tinggal serumah,” katanya lagi.

Suspek akan direman tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut dan kes itu diklasifikasikan sebagai pembunuhan.

Sehari selepas kejadian itu, akhbar Harian Metro melaporkan ahli keluarga mangsa memilih untuk tidak memberi sebarang kenyataan kepada media.

Hanya kedengaran bunyi orang membaca al-Quran di kediaman mangsa, manakala perabot diletakkan di perkarangan rumah ketika keluarga sedang membersihkan tempat kejadian.

“Kami masih terkejut. Tolong beri kami sedikit ruang untuk bersedih,” kata seorang wakil keluarga sambil menambah bahawa mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain