suria

Tragis ibu maut dipenggal anak... suasana hiba, hanya bacaan al-Quran di rumah mangsa

Keadaan rumah mangsa di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor.

TRAGIS apabila seorang wanita maut dipercayai dipenggal kepala oleh anaknya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang, di Kuala Selangor pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 5.45 petang.

Siasatan mendapati mangsa dibunuh anaknya berusia 28 tahun dalam kejadian di ruang tamu berikutan terdapat kesan darah dalam rumah tersebut.

Tambah beliau, polis turut menemui parang yang disyaki digunakan untuk memenggal kepala mangsa dalam tandas rumah tersebut.

Beliau memberitahu, suspek yang juga penganggur menetap bersama ibu dan bapanya manakala anak-anak mangsa lain menyewa di kawasan berhampiran.

"Laporan awal ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine," katanya.

"Siasatan lanjut telah dijalankan bersama Unit Forensik PDRM dan Mahkamah Majistret Kuala Selangor membenarkan reman selama tujuh hari sehingga Sabtu depan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan membunuh," katanya.

Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian, rumah mangsa pada Ahad diselubungi suasana hiba dan hanya kedengaran bacaan al-Quran.

Dilaporkan, ahli keluarga mangsa dilihat sedang mengemas dan membersihkan rumah.

Bagaimanapun, ahli keluarga wanita itu enggan ditemui pemberita yang tiba di rumah itu sejak pukul 10 pagi.

Seorang menantu mangsa memaklumkan, jenazah ibu mertuanya sudah dibawa ke Hospital Sungai Buloh.

"Maaf buat masa ini kami tidak mahu ditemubual pihak media dan masih terkejut dengan kejadian ini.

"Ahli keluarga mohon pihak media memberi ruang kepada kami untuk bertenang kerana masih dalam keadaan bersedih," katanya semasa ditemui pada Ahad.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain