suria

Wakil rakyat DAP mengaku ditahan polis, dakwa ada individu isi minuman ‘aneh’ ketika pergi tandas

Terence pada Jumaat telah membuat laporan polis, menyatakan bahawa dirinya terdedah kepada anasir yang mencurigakan.

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar, Terence Naidu menolak dakwaan bahawa dia terlibat dalam pengambilan sebarang bahan terlarang.

Menerusi kenyataan di Facebook, wakil rakyat DAP itu mahu mempertahankan dirinya untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah.

ARTIKEL BERKAITAN: Amanah ugut tarik balik sokongan kepada PM jika PRN Johor diteruskan

"Sepertimana yang dilaporkan media, saya merupakan Adun yang baru-baru ini ditahan oleh pihak polis di Perai. Saya faham kekecewaan mereka di sekeliling saya yang berpunca daripada insiden terbaru ini, di mana saya dilaporkan ditahan kerana didapati positif dadah.

"Saya tidak mengambil sebarang bentuk bahan terlarang. Saya terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencing saya positif, kerana saya ini merokok pun tidak. Saya dihidangkan minuman yang ‘aneh’.

"Saya tidak meminumnya selepas merasa sedikit. Saya kemudiannya dimaklumkan keesokan harinya bahawa ketika saya ke tandas, seseorang telah datang ke meja dan mengisi gelas minuman saya," ujarnya di Facebook.

Ekoran insiden tersebut, dia selepas dibebaskan pada Jumaat telah membuat laporan polis, menyatakan bahawa dirinya terdedah kepada anasir yang mencurigakan dan telah menamakan saksi terhadap kejadian terbabit.

"Saksi tersebut telah pun memberi kenyataan kepada polis dan mengesahkan apa yang telah dia lihat. Berikutan dengan ini, saya telah memohon pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut dan orang ramai boleh menilai kenyataan beramaran saya kepada pihak polis dan membuat kesimpulan mereka sendiri.

"Walau bagaimanapun, saya akan mempertahankan diri untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah. Pun begitu, ramai yang telah membuat keputusan bahawa saya semestinya bersalah.

"Tiada apa yang berubah, dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab terhadap pengundi saya serta tetap berpendirian bahawa dadah adalah permasalahan sosial dan akan terus berjuang menentangnya.

"Buat para penyokong yang mengenali saya secara peribadi, terutamanya penduduk Pasir Bedamar, saya dengan rendah hati memohon maaf kerana meletakkan diri dalam posisi yang berbahaya," ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan ahli politik itu ditahan bersama 35 individu lain selepas ujian saringan air kencing mereka positif dadah.

Kesemua mereka ditahan di sebuah restoran yang dahulunya merupakan kelab malam di Pulau Pinang.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Lain