suria

Wajib ada Sijil Pematuhan Cukai prasyarat peroleh projek kerajaan - HASiL

Kerajaan memperkenalkan Sijil Pematuhan Cukai sebagai satu prasyarat baharu yang perlu dipatuhi.

KERAJAAN memperkenalkan Sijil Pematuhan Cukai sebagai sebahagian prasyarat untuk syarikat dan pembekal yang ingin menyertai perolehan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022 bermula pada 1 Januari 2023.

Justeru, setiap pembekal atau syarikat yang ingin mendapatkan projek daripada kerajaan adalah diwajibkan untuk memperolehi Sijil Pematuhan Cukai terlebih dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Banjir: LHDN benarkan tangguh bayaran cukai

ARTIKEL BERKAITAN: 3.8 juta kenderaan masih belum perbaharui cukai jalan, JPJ beri tempoh hingga 31 Disember

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pejabat ketua pegawai eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), pembekal atau syarikat berkenaan berkemungkinan tidak akan berjaya mendapat projek tersebut tanpa sijil ini.

Sijil Pematuhan Cukai merupakan dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh HASiL sebagai bukti bahawa pembayar cukai telah memfailkan dan membayar semua cukai yang perlu dibayar sewajarnya.

Cadangan ini bukanlah satu amalan baharu tetapi ia telah lama dilaksanakna secara meluas di negara-negara lain di dunia seperti United Kingdom (UK), Ireland, Singapura, Fiji, Afrika Selatan dan sebagainya.

Menurut laporan daripada Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), pelaksanaan Sijil Pematuhan Cukai telah berjaya meningkatkan tahap pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai dan ia merupakan langkah berkesan untuk mencegah ketirisan hasil cukai.

Malahan, inisiatif ini dapat mendisiplinkan semua pembekal terutamanya syarikat yang ingin mendapatkan kontrak atau tender daripada kerajaan agar patuh kepada undang-undang percukaian.

Sistem ini boleh memperluaskan asas cukai pendapatan apabila setiap pembekal dan syarikat akan memastikan mereka mempunyai fail cukai dengan HASiL dan membuat pengisytiharan cukai pada setiap tahun serta melunaskan amaun cukai yang dikenakan kepada mereka.

"Pelaksanaan Sijil Pematuhan Cukai ini akan mewajibkan semua pembekal atau syarikat untuk mempunyai nombor rujukan cukai pendapatan bagi mengakses sistem perolehan.

"Bagi pembekal yang tidak mempunyai nombor rujukan cukai pendapatan, mereka hendaklah membuat permohonan nombor berkenaan kepada HASiL terlebih dahulu. Permohonan nombor berkenaan boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem e-Daftar di www.hasil.gov.my atau secara manual di mana-mana Kaunter Perkhidmatan Percukaian dan Pejabat Cawangan HASiL," katanya.

Terdapat dua kriteria khusus yang diambil kira oleh HASiL dalam pengeluaran Sijil Pematuhan Cukai seperti berikut:

a. Pematuhan yang baik dalam hal pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP); dan

b. Pematuhan yang baik dalam hal bayaran cukai pendapatan.

Menurut kenyataan itu, dalam hal pematuhan bayaran cukai pendapatan, mana-mana pembekal atau syarikat yang telah diberi kelulusan untuk pembayaran cukai secara ansuran turut akan dikategorikan sebagai pembayar cukai yang patuh dengan syarat mereka mestilah mematuhi jadual pembayaran ansuran yang telah ditetapkan oleh HASiL.

Bagi pembekal atau syarikat yang tidak memenuhi kriteria pengeluaran Sijil Pematuhan Cukai yang ditetapkan oleh HASiL, mereka masih boleh membuat permohonan bagi mendapatkan sijil ini.

Kementerian Kewangan telah menetapkan bahawa bagi kes-kes tidak patuh yang disebabkan oleh isu teknikal (rayuan), kes-kes mahkamah dan sebab-sebab lain, Sijil Pematuhan Cukai boleh dikeluarkan berdasarkan merit kes dan juga tertakluk kepada kelulusan bersyarat oleh Kementerian Kewangan (MOF).

"Sebagai usaha memudahkan urusan pengeluaran sijil ini, HASiL akan menyediakan sistem permohonan agar semua permohonan oleh pembekal dan syarikat boleh dibuat secara dalam talian mulai Januari 2023.

"Tempoh sah laku sijil ini pula ialah satu tahun, membolehkan pembekal menggunakan Sijil Pematuhan Cukai yang sama untuk membida kontrak dengan mana-mana agensi kerajaan dalam tempoh satu tahun sijil tersebut dikeluarkan.

"Setelah tempoh satu tahun tersebut tamat, pembekal atau syarikat boleh membuat permohonan Sijil Pematuhan Cukai yang baharu," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, setiap pembekal dan syarikat adalah disarankan agar memastikan urusan cukai pendapatan mereka ditadbir dengan sebaik mungkin supaya mereka tidak menghadapi masalah apabila cadangan ini mula dilaksanakan pada tahun 2023.

Sebarang pertanyaan berkaitan cadangan ini boleh diajukan kepada HASiL melalui talian bantuan Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/ 603-8911 1100 (Luar Negara), HASiL Live Chat dan melalui Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM.

Artikel Lain