suria

3.8 juta kenderaan masih belum perbaharui cukai jalan, JPJ beri tempoh hingga 31 Disember

Orang ramai mempunyai tempoh sehingga 31 Disember ini untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen di kaunter JPJ dan secara dalam talian. Gambar hiasan

CUKAI jalan bagi lebih 3.78 juta kenderaan di seluruh negara masih belum diperbaharui, kata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Aedy Fadly Ramli berkata berdasarkan statistik yang diperoleh pada 15 November, 3,784,042 individu masih belum memperbaharui cukai jalan bagi kenderaan masing-masing.

"Mereka mempunyai tempoh sehingga 31 Disember ini untuk berbuat demikian, tetapi kami menasihatkan mereka untuk melakukannya dengan cepat dan tidak menunggu sehingga saat akhir," kata Aedy.

"Kami menganggarkan akan berlaku kesesakan untuk memperbaharui lesen dan cukai jalan dalam beberapa hari terakhir Disember ini," katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas menghadiri operasi di plaza tol Sungai Besi pada Jumaat (26 November).

Beliau menambah JPJ akan membuka kaunter tambahan pada hujung minggu bermula minggu ini hingga akhir tahun.

"Kami memutuskan untuk menyediakan kaunter ini terutama bagi memudahkan mereka yang ingin datang memperbaharui cukai jalan mereka," kata Aedy lagi.

Aedy kemudian berkata sekiranya tiada arahan daripada kerajaan untuk melanjutkan tempoh morotarium yang akan tamat pada tarikh berkenaan, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang tidak mempunyai lesen dan memperbaharui cukai jalan pada 1 Jan 2022. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

JPJ, cukai jalan, 31 Disember 2021

Artikel Lain