suria

Covid-19: Tiada vaksin tamat tempoh dihantar ke PPV, PSV

TIADA stok vaksin Covid-19 yang telah tamat tempoh dibekalkan ke pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 atau pusat penyimpanan vaksin (PSV), kata Kementerian Kesihatan.

"Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau bekalan dan tarikh luputnya vaksin Covid-19 yang diterima oleh PSV dan PPV dengan mengguna pakai Sistem Pengurusan Vaksin (VMS)," kata Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Norhaliza A Halim menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, ini adalah selain sistem inventori yang digunakan oleh fasiliti yang terlibat dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

ARTIKEL BERKAITAN: KJ nafi posting viral mengenai status vaksinasi Covid-19

"Berdasarkan semakan, tiada stok vaksin yang luput dibekalkan kepada PSV atau PPV," katanya lagi.

Kenyataan Norhaliza adalah sebagai menjawab hantaran dan video yang tular di media sosial baru-baru ini, yang mendakwa vaksin Covid-19 yang telah tamat tempoh diberikan kepada penerima.

Beliau menambah bahawa adalah sukar untuk menyiasat beberapa dakwaan berikutan kekurangan butiran seperti tarikh, lokasi dan butiran vaksin yang terlibat.

Mengenai jangka hayat vaksin, beliau berkata ia akan berubah sekiranya terdapat perubahan suhu penyimpanan dan tarikh luput baharu diberikan kepada produk tersebut berdasarkan permohonan pelanjutan jangka hayat yang dikemukakan pengilang kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk dinilai.

Beliau menambah kerana keperluan mendesak untuk membangunkan vaksin Covid-19 dalam masa kurang daripada dua tahun untuk menangani wabak itu, ini bermakna ujian untuk menentukan jangka hayat vaksin adalah terhad.

Bagaimanapun, Norhaliza menyatakan bahawa pengeluar vaksin yang mempunyai data mengenai ujian tambahan dibenarkan memohon kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk lanjutan jangka hayat vaksin mereka.

"Ini adalah amalan yang digunakan untuk aplikasi memanjangkan jangka hayat bagi semua produk farmaseutikal berdaftar. Produk (vaksin) adalah selamat untuk diberikan selagi belum melepasi tarikh luput baharu," tambahnya.

Setakat ini, Norhaliza berkata NPRA telah meluluskan permohonan pelanjutan jangka hayat bagi vaksin Comirnaty (Pfizer) daripada enam kepada sembilan bulan, vaksin CoronaVac (Sinovac) keluaran China (daripada sembilan kepada 12 bulan) dan vaksin CoronaVac (Sinovac) keluaran Pharmaniaga Lifescience, Malaysia (daripada enam kepada 12 bulan), dan vaksin Convidecia dari enam kepada 12 bulan pada 17 Disember tahun lalu.

Tambahnya, lanjutan jangka hayat vaksin ini telah dimaklumkan kepada semua fasiliti kesihatan termasuk melalui kenyataan akhbar yang dikeluarkan kementerian pada 16 November tahun lalu.

Beliau berkata pengeluar vaksin diberi tempoh enam bulan dari tarikh lanjutan jangka hayat vaksin mereka untuk mengemas kini tarikh luput yang tertera pada botol vaksin. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain