suria

Kes rasuah Rosmah: Najib tak akan dipanggil sebagai saksi

Rosmah diperintahkan untuk membela diri atas tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak. Foto: Yap Chee Hong/ The Star.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan dipanggil sebagai saksi pada prosiding bela diri kes rasuah membabitkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Peguam bagi pasukan pembelaan, Datuk Jagjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin, ketika prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bagi pertuduhan kes rasuah projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Jagjit berkata, Najib sepatutnya dijadualkan untuk memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ketiga pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: 3 pertuduhan kes rasuah, Rosmah diperintah bela diri

Bagaimanapun ujar Jagjit, pembelaan membuat keputusan untuk tidak memanggil Najib kerana keterangannya pada dasarnya bersifat menyokong.

Berikutan itu, Jagjit memohon kepada mahkamah agar dapat melapangkan perbicaraan sepanjang minggu ini kerana, katanya, saksi kedua, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod iaitu bekas pegawai khas Najib sedang menunaikan umrah dan hanya berkelapangan pada 4 Februari depan.

Menurutnya, Siti Azizah yang juga bekas Pengarah Bahagian First Lady Of Malaysia (FLOM) selesai membaca sebahagian pernyataan saksi dan dijadualkan untuk disoal balas pada tarikh berkenaan.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, terpulang kepada pasukan pembelaan untuk memanggil mana-mana saksi untuk memberi keterangan.

Hakim Mohamed Zaini menangguhkan perbicaraan kes dan menetapkan ia disambung semula pada Februari depan.

Rosmah diperintahkan untuk membela diri atas tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Rosmah, 71, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Beliau didakwa menerima rasuah itu melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain