suria

Pesara bank hilang hampir RM100,000 ditipu ‘Ariana’ ‘Sarjan Mazlan’

Pesara bank ditipu individu yang menyamar sebagai ejen insurans dan polis.

SEORANG pesara bank berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM94,200 lesap selepas ditipu individu yang menyamar sebagai ejen insurans dan polis.

Kejadian bermula pada ogos lalu, apabila mangsa berusia 65 tahun menerima panggilan daripada ejen insurans yang dikenali sebagai Ariana.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, Ariana memberitahu mangsa bahawa dia telah membuat tuntutan insurans yang meragukan berjumlah RM76,800.

Mangsa bagaimanapun menafikan dakwaan terbabit.

"Panggilan itu kemudian disambungkan kepada pegawai polis dikenali Sarjan Mazlan dan mangsa diberitahu dirinya terlibat dengan kes tuntutan palsu.

"Sarjan Mazlan meminta mangsa memberikan maklumat bank termasuk perbankan dalam talian yang digunakan oleh mangsa bagi tujuan siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa tanpa berfikir panjang menyerahkan semua maklumat yang diminta dan memasukkan semua wang simpanan berjumlah RM94,200 ke dalam sebuah bank seperti yang diarahkan.

"Mangsa kemudian menyemak akaun bank miliknya dan mendapati kesemua wang simpanannya telah lesap.

"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Sabtu," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

pesara bank, scam, ditipu, ejen insurans, polis

Artikel Sebelum

Artikel Lain