suria

“Tak dapat bayangkan jika anak-anak ada di situ” - Asrama Tahfiz As Sofa musnah dibadai arus deras Sungai Lui

Semua buku dan peralatan pelajar musnah dan segala barangan dalam pejabat pentadbiran tidak boleh diguna lagi kerana disaluti lumpur.

KETIKA tumpuan diberikan kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, tidak ramai ketahui kejadian menimpa asrama pelajar Tahfiz As Sofa Hulu Langat yang musnah dilanda banjir.

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, Maahad Tahfiz Al-Quran dan Qiraat As Sofa di Batu 15 Hulu Langat, Selangor itu turut mengalami kerosakan teruk akibat dinaiki air banjir hampir dua meter.

ARTIKEL BERKAITAN: Banjir: 17 mayat ditemui di Selangor

Lebih menyedihkan, bangunan asrama pelajar lelaki yang terletak bersebelahan Sungai Lui dilanda banjir hingga musnah sama sekali.



Banyak pokok tumbang dan segala peralatan asrama, pakaian dan buku pelajar berselerakan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Sofa, Abdullah Abdol Razak dan Skuad Sofa Prihatin bergegas ke mahaad pada Isnin dan melihat persekitarannya yang sebelum ini indah dan damai bertukar menjadi lumpur, banyak pokok tumbang dan segala kelengkapan asrama, pakaian dan buku pelajar berselerakan.

“Sebak hingga hampir menitiskan air mata melihat keadaan maahad tahfiz yang rosak teruk.

"Nasib baik ketika kejadian semua pelajar balik kerana bercuti. Takut saya hendak membayangkan seandainya anak-anak tahfiz ada di situ.

“Dalam kesedihan, kita masih boleh mengucapkan syukur dan Alhamdulillah. Benda yang rosak boleh kita ganti.

"Asrama yang musnah kita akan bangunkan semula, tetapi seandainya ada kecederaan dan kehilangan nyawa, tiada apa yang dapat menggantikan mereka. Allah masih melindungi mereka,” kata Abdullah.

Memandangkan kurikulum sekolah akan bermula awal tahun depan, pihak pengurusan akan mencari penempatan sementara untuk pelajar lelaki.

Lebih penting, pelajar di sana akan mengambil peperiksaan SPM pada Mac tahun hadapan. Maahad boleh memuatkan 35 pelajar lelaki dan 35 pelajar perempuan.



Tiada sesiapa berada di tahfiz kerana bercuti dan tidak dapat dibayangkan bagaimana sekiranya pada hari itu pelajar berada di asrama semasa banjir deras datang melanda.

Namun, dalam kesedihan warga di As Sofa melihat kawasan maahad yang musnah, mereka amat bersyukur kepada Allah SWT kerana masih melindungi anak-anak tahfiz.

Katanya, asrama pelajar perempuan dan bangunan pentadbiran serta bilik darjah tidak jauh dari asrama lelaki turut mengalami kerosakan teruk.

Semua buku dan peralatan pelajar turut musnah, dan semua barang di pejabat pentadbiran tidak lagi boleh digunakan kerana berlumuran lumpur.

Sebagai inisiatif, Yayasan Sofa telah memulakan Tabung Kilat – Rayuan Bantuan Banjir Yayasan Sofa untuk membangunkan semula asrama, dan menyediakan keperluan pelajar, terutamanya buku.

Abdullah memohon rakyat Malaysia tampil membantu meringankan beban mangsa dengan menyalurkan sumbangan dana kepada mangsa banjir dan membina semula Maahad Tahfiz As Sofa Hulu Langat.

“Saya percaya inilah masanya kita bersatu untuk membina dan mengembalikan semula penginapan pelajar yang roboh itu. Malah saya yakin, kita akan bina yang lebih baik dan kukuh daripada bangunan sebelum ini,” ujar beliau.

Untuk sebarang maklumat lanjut sila layari laman web Yayasan Sofa Negeri Sembilan atau hubungi Pengurus Komunikasi Korporat Yayasan Sofa, Minarni Mat Saad di talian 016 2863539

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain