suria

Simpati nasib mangsa banjir, Sunway Lagoon turun padang hulur pelbagai bantuan

Sunway Lagoon memberi bantuan pertolongan cemas, perahu dan pelampung di Taman Sri Muda.

BUKAN sekadar taman tema air penuh keriangan, Sunway Lagoon turut bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa-mangsa banjir kilat terutama di Lembah Klang.

Justeru, kakitangan taman tema itu digerakkan secara aktif bagi menyalurkan bantuan ke salah satu lokasi yang terjejas teruk akibat banjir di Taman Sri Muda di Shah Alam, Selangor.

Pengarah Eksekutif Sunway Theme Parks, Calvin Ho berkata, pihaknya menyediakan bantuan rawatan dan pertolongan cemas (first aid) kepada penduduk yang terjejas termasuk sukarelawan.

"Kita menubuhkan khemah yang menawarkan khidmat rawatan kecemasan daripada pasukan first aid kami yang profesional, terlatih dan berpengalaman.

"Dalam keadaan getir yang memungkinkan mereka mengalami kecederaan dan luka ketika banjir, bantuan kecemasan amat diperlukan dengan segera," katanya kepada mStar.

sunway lagoon bantu 10

Warga kerja Sunway Lagoon mengedarkan bubur kepada mangsa banjir.

Menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR), Calvin berkata, kemudahan untuk kelancaran operasi menyelamat dan memberi bantuan turut disalurkan.

"Kita juga sediakan sejumlah pelampung, payung, tuala serta baju untuk kegunaan mereka sepanjang menjalankan operasi.

"Paling utama kami turut menyediakan perahu untuk pergerakan sukarelawan dan memastikan operasi berjalan lancar," katanya.

Beliau menambah, pada masa sama, pihak Sunway Lagoon turut bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dalam melancarkan saluran bantuan di Taman Sri Muda.

"Kita memberi sokongan berterusan kepada PBSM dan akan bekerjasama dengan mereka pada bila-bila masa jika bantuan kami diperlukan," tambahnya.

sunway lagoon bantu

Calvin (tengah) bersama pasukan sukarelawan di Taman Sri Muda.

Jelasnya, Sunway Lagoon turut menyalurkan makanan bubur dan minuman air mineral kepada orang ramai di lokasi berkenaan.

"Dalam situasi banjir, sebaik-baiknya diberikan makanan panas dan berkhasiat seperti bubur. Malah ia juga boleh dimakan tanpa mengira usia dari kanak-kanak sehingga warga emas.

"Sebagai jaminan, pasukan cef kami yang berpengalaman di Sunway Lagoon akan terus memastikan bekalan bubur disediakan sehingga keadaan banjir kembali pulih," katanya yang turut membuat tinjauan dan menyalurkan bantuan di Taman Sri Muda pada petang Selasa.

sunway lagoon bantu 2

Calvin (kiri) turut turun padang memberi bantuan kepada mangsa banjir.

Sehubungan itu, Calvin berharap menerusi kerjasama dan bantuan Sunway Lagoon, secara tidak langsung dapat memberi sokongan moral bukan sahaja kepada penduduk terjejas akibat banjir, malah menaikkan semangat pasukan sukarelawan dan penyelamat yang betugas.

"Apa saja yang boleh bantu, kita sedaya-upaya cuba bantu. Pada situasi getir ini, kita membantu dan mempermudahkan semua terutama mangsa tanpa mengira bangsa dan agama.

"Sebagaimana yang sering disarankan oleh Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah kepada warga kerja, sebaik-baiknya kita turun padang menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain