suria

Banjir: 17 mayat ditemui di Selangor

Keadaan Banjir di Taman Sri Muda di Shah Alam, Selangor. foto IZZRAFIQ ALIAS/The Star

ANGKA kematian akibat banjir di Selangor meningkat kepada 17 orang, termasuk seorang sukarelawan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, setakat pukul 8 pagi Selasa, 10 mayat ditemui di Klang, tiga di Hulu Langat dan empat di Sepang.

"Kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa terlibat kerana kehilangan insan tersayang," katanya pada sidang media.

Beliau berkata, punca kematian mangsa masih belum dikenal pasti.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga yang kehilangan orang tersayang akibat banjir, dan RM1,000 kepada setiap keluarga yang terjejas.

Beliau berkata, setakat 8 pagi Selasa, seramai 30,632 mangsa daripada 4,672 keluarga telah dipindahkan ke 203 pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor.

"Jumlah mangsa dijangka meningkat kerana paras air masih tinggi di beberapa daerah seperti di Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sepang, dan juga di tempat yang dapat dilalui oleh pasukan penyelamat seperti Taman Sri Muda, Kampung Baru Hicom dan Bukit Changgang," katanya lagi. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain