suria

Hanya sejam rumah tenggelam! Penduduk selamatkan diri atas bumbung, pilu tengok ibu masih berpantang bersama bayi terpaksa ‘turut serta’

Sebahagian penduduk Taman Sri Nanding berada di atas bumbung Surau Al Munir.

MENDEBARKAN! Hanya dalam tempoh singkat kira-kira sejam, banjir di paras lutut naik mendadak sehingga ke paras bumbung.

Detik cemas itu dirasai salah seorang penduduk Taman Sri Nanding di Hulu Langat, Selangor yang terpaksa menyelamatkan diri di atas bumbung rumah seawal pukul 2 pagi Ahad.

Shaherwan Md Sarif ketika dihubungi mStar berkata, pada awalnya banjir mencecah paras lutut berikutan hujan berterusan di kawasan perumahannya sejak Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: 184 individu terkandas di resort di Bentong lebih 15 jam! Elektrik terputus, dibimbangi tiada makanan - "Damage letak tepi, yang penting nyawa"

Susulan itu, pemuda berusia 39 tahun itu nekad menghantar ibu bapanya yang merupakan warga emas, masing-masing berumur 63 dan 65 tahun ke Surau Al Munir di Taman Sri Nanding untuk perlindungan.

"Ramai penduduk terutama warga emas, wanita dan kanak-kanak dibawa ke surau untuk pemindahan. Saya kemudian berpatah balik ke rumah, ingatkan nak selamatkan kereta dan motor.

"Tapi lebih kurang sejam tu air terus naik mendadak sampai paras bumbung. Memang terlalu cepat. Saya cepat naik atas bumbung rumah bersama jiran-jiran," katanya.

mangsa banjir atas bumbung 2

Penduduk terpaksa berteduh di atas bumbung surau.

Shaherwan berkata, dianggarkan kira-kira 100 penduduk berada di atas bumbung surau, manakala dia bersama enam jiran lain terkandas di bumbung rumah.

"Memang tak jangka, perjalanan kira-kira 30 minit meredah banjir dari surau ke rumah paling mencabar. Air semakin deras sepanjang jalan.

"Bukan setakat bahaya batang pokok hanyut dibawa arus deras, malah ada ular melintas depan mata," ujarnya yang menetap di Taman Sri Nanding selama lebih 20 tahun.

mangsa banjir atas bumbung 4

Keadaan banjir di Taman Sri Nanding, pagi Ahad.

Sukar untuk membayangkan bagaimana hujan lebat turun selama dua jam dari pukul 2 pagi hingga 4 pagi, Shaherwan yang menganggap insiden banjir itu sebagai paling buruk berkata mereka hanya berteduh dengan berkongsi payung di atas bumbung.

"Kami sempat capai payung. Tapi penduduk di surau terus bergegas naik atas bumbung surau dan berteduh dengan apa saja kain yang mereka bawa dan pakai termasuk tudung.

"Sedih juga sebab ada warga emas dan kanak-kanak. Ada ibu yang belum habis pantang lagi bersama anaknya atas bumbung. Dengan hujan lebat dan angin kuat, memang sejuk sangat.

"Kami tak sempat bawa apa-apa ke atas bumbung. Mujur tiang lampu di tepi jalan masih berfungsi, ada juga cahaya dalam keadaan gelap pukul 2 pagi," tambah bapa kepada dua anak itu.

mangsa banjir atas bumbung 3

Keadaan kereta selepas banjir mulai surut.

Menurut pembantu pejabat itu, kesemua mereka akhirnya diselamatkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada kira-kira pukul 11.30 pagi Ahad untuk dibawa menaiki bot ke pusat pemindahan sementara di sebuah sekolah agama berdekatan.

"Masa tu air dah turun ke paras dada. Dari malam tadi memang kami semua tak tidur, dari pukul 2 pagi atas bumbung menahan kesejukan dengan tak makan, tahan daripada buang air.

"Nak turun dari bumbung memang tak boleh sebab paras air sudah terlalu tinggi. Kami hanya berdoa berharap sangat supaya banjir tidak melepasi paras bumbung," kata Shaherwan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain