suria

Kes buli: 10 pelajar MRSM kena buang

Beberapa pelajar menumbuk seorang pelajar dalam kejadian buli di MRSM Kuala Kangsar.

KES buli yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar, Perak, ternyata menimbulkan kemarahan ramai.

Sebelum ini, tindakan penggantungan dibuat berdasarkan siasatan dalaman dan mengikut peruntukan hukuman yang telah ditetapkan Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM).

Dalam perkembangan terbaru, JDM mengambil keputusan menamatkan pengajian 10 pelajar maktab berkenaan yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak serik! Tular video buli pelajar disyaki di asrama ‘maktab’... bangga tumbuk perut mangsa, ada yang jerit ‘mantap gila’!

ARTIKEL BERKAITAN: Kes buli di MRSM, 6 pelajar digantung sekolah 2 minggu

Menurut Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azhar Abdul Manaf, mesyuarat JDM telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuat kuasa pada Selasa.

"Pihak Mara mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu itu dan hukuman yang telah diputuskan ini menunjukkan pihak kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar-pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan Mara, IPMA mahupun tajaan Mara", katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Azhar, ibu bapa pelajar terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan.

Keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM.

"Keputusan ini kita harap ianya bukan sahaja menjadi satu pengajaran kepada pelajar yang terlibat, tetapi juga kepada pelajar-pelajar yang lain agar tidak berlaku lagi perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah Mara.

"Kita di Mara tentunya hendak melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan tetapi juga mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik dan diterima oleh masyarakat," ujarnya.

Beliau menegaskan pihak Mara komited dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP), melalui penguatkuasaan peraturan sekolah.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain