suria

Tiada penggiliran bagi sekolah capai 90 peratus vaksinasi mulai 8 November - KPM

Sekolah dibenar beroperasi tanpa penggiliran bagi yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa.

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan institusi pendidikan di bawahnya dibenar beroperasi tanpa penggiliran, bagi yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa.

Menurut KPM, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara dengan mengambil kira kadar vaksinasi dalam kalangan murid kelas peperiksaan.

"Pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa hadir tanpa penggiliran bagi negeri Kumpulan A dan B adalah bermula 8 November ini," menurut KPM dalam kenyataan satu kenyataan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: KPM pantau kadar vaksinasi, mahu elak sesi penggiliran bagi pelajar SPM

Pengoperasian adalah melibatkan kehadiran murid kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

Sementara itu institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa, pengoperasianbta kekal secara penggiliran.

Menurut KPM, murid Prauniversiti Semester Tiga di Sekolah Sukan Malaysia, murid kelas peperiksaan awam di sekolah berasrama sepenuhnya dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE OLevel, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) kekal hadir tanpa penggiliran.

"KPM akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa.

"Kementerian juga akan mengeluarkan senarai terkini institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus pada setiap hari Rabu.

"Justeru, mana-mana institusi pendidikan yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih akan dikeluarkan daripada senarai tersebut dan institusi boleh mula beroperasi tanpa penggiliran pada hari Ahad atau Isnin minggu berikutnya.

"KPM menyarankan ketetapan ini terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri," menurut kenyataan itu lagi. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain