suria

Naik taraf mutu khidmat pembetungan, IWK ambil alih operasi 191 loji rawatan kumbahan di Johor

(Dari Kiri) Mohd Zainal Zakaria, Pengurus Besar Kanan, Operasi dan Penyelenggaraan Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Narendran Maniam, Ketua Pegawai Eksekutif, Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Haji Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor, Zulkiflee Abbas, Ketua Pegawai Eksekutif, Johor Special Water Sdn Bhd dan Ismail Yunus, Pengurus Kanan, Johor Special Water Sdn Bhd di Majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi Bagi Pengambilalihan Sistem Pembetungan Awam Di Kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

KERAJAAN Persekutuan dan kerajaan negeri Johor bersetuju menjalinkan kerjasama dalam menaiktaraf mutu perkhidmatan pembetungan di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ia melibatkan penyerahan perkhidmatan pembetungan di kedua-dua kawasan tersebut kepada Indah Water Konsortium Sendirian Berhad (IWK) iaitu syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan dan agensi di bawah kawalselia Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

"Mulai 1 Disember 2021, IWK akan mengambil alih operasi dan penyelenggaraan 191 loji rawatan kumbahan iaitu 147 di MBJB dan 44 di MBPG melibatkan populasi setara (PE) sebanyak 1.46 juta penduduk.

"IWK juga akan menyediakan perkhidmatan menyahenap cemar kepada kira-kira 293,236 tangki septik individu serta tangki tradisional di kedua-dua kawasan.

"Melalui kolaborasi ini, mutu dan kualiti perkhidmatan pembentungan khasnya dari aspek pematuhan kepada standard pelepasan efluen terawat Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kualiti perkhidmatan dapat ditingkatkan," ujarnya.

Menurut Tuan Ibrahim, kepakaran teknikal IWK sebagai syarikat pembetungan negara mampu memastikan aset-aset pembetungan dioperasi dan diselenggara secara optimum sekali gus mengurangkan ganggu kacau kepada penduduk dan menyokong kelestarian alam sekitar.

Malah katanya, inisiatif itu juga dapat mengurangkan pencemaran sumber air oleh efluen yang tidak dirawat dengan sempurna ke atas 18 sungai utama termasuk Sungai Skudai, Sungai Kim-Kim dan Sungai Masai.

"Menerusi penyerahan ini juga, MBJB dan MBPG layak mendapat geran daripada Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan pembetungan seperti baik pulih loji, sistem penyaluran dan pembinaan rawatan kumbahan berpusat.

"Saya yakin dengan adanya sinergi antara IWK dan JSW serta sokongan daripada pihak KASA, Kerajaan Negeri Johor, SPAN dan JAS, langkah pemodenan sistem perkhidmatan pembetungan di MBJB dan MBPG secara khususnya dan di Johor secara amnya dapat dicapai selari dengan aspirasi yang digariskan dalam Agenda Transformasi Sektor Air Negara 2040, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," ujarnya lagi.

Untuk rekod, perjanjian kolaborasi pengambilalihan sistem pembetungan awam di MBJB dan MBPG telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Johor Special Water (JSW), Zulkiflee Abas dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam pada Isnin lalu.

Majlis itu telah disaksikan oleh Tuan Ibrahim dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain