suria

Anggota APM bantu urusan pengebumian jenazah wanita 300kg

Jenazah wanita seberat 300kg selamat dikebumikan dengan bantuan anggota APM. Foto: APM Daerah Ipoh

JENAZAH seorang wanita seberat 300 kilogram (kg) selamat dikebumikan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Ipoh.

Jenazah tersebut yang merupakan seorang wanita berusia 31 tahun itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, Ipoh pada Rabu.

Menurut Pegawai APM Daerah Ipoh, Kapten (PA) Muhammed Ameen Salleh Mura, pihaknya menerima permohonan bantuan berkenaan daripada pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi menyempurnakan proses pengebumian wanita berkenaan.

"Ini merupakan sebahagian bentuk bantuan khas yang kita laksanakan kepada masyarakat selain tugas hakiki ditetapkan terutama berkaitan bencana dan kecemasan," katanya.

Seramai lapan anggota dan seorang pegawai terlibat dalam membantu proses pengebumian jenazah terbabit kira-kira jam 11.30 pagi itu, kata beliau.

Menurutnya lagi, jenazah dibawa dari HRPB menggunakan kenderaan hospital terbabit sehingga ke tanah perkuburan tersebut.

Muhammed Ameen berkata, setelah sampai di tanah perkuburan, anggota terlibat bersama beberapa orang awam membantu menurunkan jenazah ke dalam liang lahad sehingga proses pengebumian selesai. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain