suria

Zahid hantar surat akuan tambahan kepada Agong, tepis dakwaan kerajaan masih ada majoriti

Menurut Zahid, kenyataan PM dalam Perutusan Khas pada Rabu yang mendakwa kerajaan masih mempunyai majoriti adalah tidak benar.

PRESIDEN Umno mencabar kerajaan segera memanggil Sidang Khas Parlimen untuk membuktikan sekiranya perdana menteri masih mempunyai majoriti tanpa menunggu Persidangan Parlimen pada September ini.

Menurut Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kenyataan Muhyiddin dalam perutusan khas pada tengah hari Rabu yang mendakwa kerajaan masih mempunyai majoriti adalah tidak benar.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin dedah ada pihak kurang senang tuntutan tidak dilayan, sedia berdepan usul undi percaya di Parlimen

"Sebelum ini Perikatan Nasional hanya mempunyai 114 Ahli Parlimen yang menyokong. Saya telah mempersembahkan warkah yang melampirkan lapan Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen Umno kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai 2021, bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai perdana menteri.

"Ini cukup untuk menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti, biarpun sebenarnya jumlah berkenaan melebihi daripada itu. Setelah Majlis Kerja Tertinggi Umno membuat ketetapan mutakhir pada 3 Ogos 2021, bagi menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri, atas asas mahu berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, jumlah Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen Umno telah bertambah lagi," ujarnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Dedah Zahid lagi, beliau turut mengutus surat kepada Agong bagi mempersembahkan Surat Akuan tambahan sebagai lanjutan warkah terdahulu.

Terdahulu, Muhyiddin menerusi perutusan khas menjelaskan usul undi percaya kepada beliau akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada September ini.

Melalui cara itu katanya, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain