suria

Kelonggaran individu lengkap 2 dos vaksin bolehkan pasangan, keluarga jarak jauh disatukan semula - TPM

Ismail Sabri berkata kerajaan akan mempertimbangkan kelonggaran rentas negeri bagi keluarga berjauhan yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

MENGAMBIL berat keluhan rakyat, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan mempertimbangkan kelonggaran kepada mereka yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

Ujarnya, antara keluhan yang sering disuarakan ramai adalah pasangan jarak jauh atau ibubapa yang terpisah daripada anak-anak kerana larangan merentas negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19 - Kelonggaran bagi individu lengkap dos vaksin akan diputuskan minggu depan

"Sebagai seorang bapa, saya sedar betapa pentingnya institusi kekeluargaan itu kepada manusia.

"Walaupun atas faktor keselamatan, ibu atau bapa tidak sepatutnya terpaksa berpisah dengan anak-anak dalam tempoh yang terlalu lama. Lebih-lebih lagi jika ibubapa berkenaan sudah pun menerima dua dos vaksin," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau sendiri sering membawa isu itu ke dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneliti perkara tersebut.

"Saya sering membawa isu ini dalam mesyuarat MKN, supaya kelonggaran bertemu keluarga dapat dipertimbangkan bagi mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

"Insya-Allah, kerajaan sedang memperhalusi cadangan ini bagi membolehkan pasangan dan keluarga jarak jauh disatukan semula," katanya lagi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu lalu berkata, kelonggaran kepada individu lengkap dos vaksin Covid-19 akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Pemulihan Negara pada minggu depan.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain