suria

Nak balik kampung? Kata PM... Sabar dulu, selewat-lewatnya hujung tahun ini

Perdana Menteri berucap menyampaikan Pelan Pemulihan Negara sebentar tadi.

RAKYAT Malaysia yang sudah tidak sabar-sabar untuk pulang ke kampung menziarahi ibu bapa diminta untuk bersabar sedikit masa lagi sehingga negara mencapai tahap immuniti kelompok yang dijangka berlaku selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Berucap dalam perutusan khas mengenai Pelan Pemulihan Negara hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keutamaan pada masa kini terarah kepada usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 terlebih dahulu.

"Saya sering menerima permintaan supaya acara-acara sukan seperti perlawanan bola sepak dengan kehadiran penonton di stadium dibenarkan, majlis-majlis sosial diadakan dan paling banyak saya terima ialah rayuan untuk balik ke kampung untuk menziarahi ibu bapa, sanak saudara dan ahli keluarga tersayang.

"Sabar dulu.

"Pada masa ini, perkara-perkara ini masih tak dapat kita lakukan. Kita mesti utamakan usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dahulu," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut beliau aktiviti-aktiviti ini dijangka dapat dilakukan secara berperingkat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat apabila negara mencapai tahap imuniti berkelompok iaitu apabila memasuki Fasa keempat, pelan pemulihan negara.

Muhyiddin terdahulu membentangkan strategi Pelan Pemulihan Negara iaitu satu strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik Covid-19.

Menurutnya peralihan dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan dilakukan secara berperingkat berpaksi kepada data yang bersandarkan kepada tiga indikator ambang utama.

"Indikator pertama ialah keadaan penularan covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian.

"Indikator ke dua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad ICU dan indikator ketiganya ialah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin," katanya.

Menurutnya fasa keempat adalah fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara di mana masyarakat boleh kembali semula kepada norma kehidupan seharian dan ekonomi akan dibuka serta lebih banyak aktiviti sosial dan pelancongan domestik juga akan dibenarkan.

"Fasa ini dapat dilaksanakan apabila kes Covid-19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah capai tahap imuniti berkelompok atau heard immunity selewatnya pada akhir tahun ini," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain