suria

Kosongkan tangki septik elak pencemaran, penyakit... Patuhi notis jadual, dapatkan khidmat IWK

Kakitangan IWK sedang melakukan kerja-kerja nyahenap di sebuah premis.

MASIH ramai yang tidak menyedari kepentingan untuk menyelenggara dan mengosongkan tangki septik secara berjadual.

Mungkin ia kelihatan seperti hal remeh, tetapi tangki septik yang tidak diselenggara dan dikosongkan menjadi salah satu faktor utama kepada punca pencemaran sumber air khususnya sungai dan perairan.

Bagaimana pencemaran ini boleh berlaku?

Ini kerana tangki septik jenis individu berperanan sebagai sebuah tangki mendapan bagi menakung air sisa daripada aktiviti di rumah seperti air mandi, basuhan baju, tandas dan cucian pinggan mangkuk yang dialirkan masuk ke dalam tangki tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai tak sedar, kediaman sendiri punca pencemaran air! Usah bertangguh, ayuh kosongkan tangki septik secara berjadual

Apabila air sisa kumbahan daripada rumah yang mengalir masuk ke dalam tangki septik individu ini, ia sebenarnya hanya melepasi tangki tersebut tanpa sebarang rawatan yang seterusnya akan keluar memasuki longkang, sungai atau perairan.

Justeru, setiap tangki septik memerlukan penyelenggaraan berterusan dan pengosongan secara berjadual amat penting bagi memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara.

Kerja-kerja nyahenap cemar juga mampu menghindarkan masyarakat daripada terdedah kepada penyakit bawaan air seperti taun, hepatitis dan sebagainya.

Pada masa yang sama, sumber air yang tidak tercemar dengan air kumbahan akan meningkatkan kualiti air sungai sebagai sumber air mentah yang sekaligus dapat mengurangkan kos rawatan air bersih.

Terdapat kira-kira 1.35 juta tangki septik di seluruh negara dan kebanyakannya digunakan di premis-premis yang terletak di pinggiran bandar, pekan kecil atau premis dan rumah yang telah berusia lebih daripada 25 tahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, Narendran Maniam, daripada jumlah itu, kurang daripada 10 peratus pemilik atau penggunanya yang melakukan pengosongan secara berjadual.

"Jumlah ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan kerana kita tidak mahu pencemaran daripada air kumbahan terusan berlaku kepada sumber air negara.

"Malangnya, ramai pengguna yang tidak sedar akan kepentingan mengosongkan tangki septik kerana mungkin merasakan ianya bukan tanggungjawab mereka," katanya.

Tambah Narendran, sebaiknya kerja-kerja nyahenap cemar dari tangki septik ini perlu dilakukan apabila tangki hampir penuh atau sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun.

"Sebenarnya tangki septik ini bukanlah seperti loji rawatan kumbahan yang mempunyai peralatan mekanikal. Tangki septik bertindak sebagai tangki mendapan dan apabila air sisa kumbahan masuk ke dalamnya, ianya akan pecah menjadi partikel kecil dan mendap di dasar tangki.

"Jadi, apabila tangki septik tidak dikosongkan, partikel yang masuk setiap hari akan bertambah dan akhirnya memenuhi ruang di dalam tangki. Jika perkara ini berterusan, partikel-partikel ini akan mengeras seperti batu.

"Apabila ini berlaku, tiada lagi proses rawatan di dalam tangki septik berkenaan, sebaliknya air sisa yang baharu hanya akan melalui ruang tangki dan mungkin akan terus melimpahi longkang, perairan dan alam sekitar," jelas Narendran.

Notis pemberitahuan

Baru-baru ini, kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mewartakan sebuah peraturan baharu yang dikenali sebagai Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021.

Warta ini menumpukan kepada keperluan pengosongan tangki septik secara berjadual di seluruh negara.



Infografik perkhidmatan nyahenap cemar yang akan dilakukan IWK.

Berkuatkuasa Mac lalu, ia menetapkan bahawa pemilik atau penghuni mestilah bertanggungjawab memastikan tangki septik mereka berada dalam keadaan baik.

Melalui warta ini, IWK sebagai syarikat pembetungan nasional akan menguruskan penjadualan nyahenap cemar ke atas premis-premis yang bersambung dengan tangki septik dengan mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pengguna.

Menurut Narendran, notis pemberitahuan ini bertujuan untuk menjadualkan tarikh perkhidmatan nyahenap cemar yang akan dilakukan IWK dan akan dikeluarkan sebanyak dua kali sebagai peringatan.

"Melalui warta ini, IWK dikehendaki memaklumkan kepada pihak kawalselia, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN); jika pemilik, perbadanan pengurusan atau penghuni mana-mana premis gagal memberikan akses kepada IWK untuk tangki septik itu dinyahenap cemar selepas notis bertulis kedua dikeluarkan," ujarnya.

Menurut warta berkenaan, mana-mana pemilik, perbadanan pengurusan atau penghuni premis yang tidak mematuhi arahan notis bertulis kedua daripada IWK telah melakukan suatu kesalahan di bawah subseksyen 65(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM50, 000.

Menurut Narendran, IWK akan mula membuat penghantaran notis penjadualan nyahenap cemar mulai Jun ini secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.

Tambah Narendran lagi, di samping membuat penjadualan bagi perkhidmatan ini, pemilik tangki septik juga boleh meminta perkhidmatan IWK secara responsif, terutama apabila tangki septik mereka memerlukan pengosongan yang lebih cepat daripada tarikh yang telah dijadualkan.

Hubungi IWK segera bagi mendapatkan perkhidmatan pengosongan tangki septik individu secara berjadual.

Untuk keterangan lanjut, layari iwk.com.my.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain