suria

Menyentuh jiwa, mencuit hati! Tiga video iklan raya berjaya tambat hati rakyat Malaysia

Pengundi telah mengundi tiga video iklan raya pilihan mereka daripada lebih 700 penyertaan yang diterima.

HARI raya tanpa iklan yang menyentuh jiwa atau mencuit hati itu umpama baju Melayu tanpa sampingnya atau ketupat dan lemang tanpa rendangnya!

Sebagai menghargai usaha yang telah dicurahkan bagi menghasilkan iklan yang ditunggu-runggu ini, Star Media Group (SMG) baru-baru ini telah menjemput rakyat Malaysia untuk sama-sama memilih karya yang paling menarik.

ARTIKEL BERKAITAN : Suka iklan sedih atau lucu? Jom tonton koleksi video raya, pilih yang mana best dan menangi hadiah menarik

Tiga video yang mendapat paling banyak undian adalah - Mangkuk Tingkat Mak Teh (Saji dari FGV Holdings Berhad), Hikmah Raya Aida (Tenaga Nasional Berhad) dan Ini Iklan Raya Tau? (Biskut Julie’s).

Video Mangkuk Tingkat Mak Teh yang menampilkan barisan bakat hebat seperti Bront Palarae, Fatimah Abu Bakar, Sarah Ali, Firdaus Karim dan Azman Hassan diilhamkan dari kisah sebenar dan berjaya menyentuh hati serta mengusik emosi penonton.



Salah satu babak dalam iklan raya Mangkuk Tingkat Mak Teh.

Iklan berdurasi lima minit 28 saat itu mengisahkan tentang seorang warga emas bernama Mak Teh yang setia memasak dan menghantar makanan ke klinik tempat suaminya bekerja walaupun sudah lima tahun pasangannya itu meninggal dunia.

Hikmah Raya Aida pula menampilkan kisah seorang usahawan wanita berjaya yang sentiasa sibuk dengan tugas sehingga kurang memberi perhatian kepada keluarga.

Perintah Kawalan Pergerakan telah menjejaskan bisnesnya, namun di sebalik ujian tersebut Aida mula sedar akan kekhilafannya serta menghargai masa yang ada bersama insan tersayang.

Biskut Julie’s pula tampil dengan iklan bergenre komedi, mengetengahkan isu stereotaip khususnya kepada golongan wanita. Diarahkan oleh Junad M. Nor, iklan ini turut menampilkan barisan pelakon handalan seperti Fauziah Nawi, Sharifah Shahirah dan Batrisyia.

Kempen undian ini nyata mendapat sambutan luar biasa apabila berjaya mendapat lebih 230,000 pelawat unik hanya dalam tempoh dua minggu.

Paling menakjubkan, jumlah undian yang dicapai kali ini juga 47 peratus lebih tinggi berbanding kempen undian yang diadakan sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2021 pada Februari lalu.

Lebih 700 penyertaan telah diterima dan 10 peserta yang memberikan jawapan kepada soalan ‘Apa makna Hari Raya bagi anda?’ yang paling kreatif, bakal menerima cenderamata eksklusif daripada SMG.

Antara jawapan kreatif peserta yang berjaya menambat hati juri adalah - “Pada saya, Hari Raya adalah waktu untuk bermaaf-maafan, bergembira, merayakan dan berterima kasih antara keluarga dan sahabat handai. Ini juga masanya rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama akan bersatu padu dalam meraikan perayaan ini.”

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Pihak SMG merakamkan jutaan terima kasih atas penyertaan dan sokongan padu yang telah diberikan.

Nantikan satu lagi kempen undian sempena Hari Merdeka yang bakal diadakan pada bulan Ogos ini.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain