suria

Anda mungkin hanya tahu susu lembu dan kambing... ketahui 5 haiwan lain hasilkan susu diminum manusia!

Yak antara haiwan yang menghasilkan susu dan diminum oleh manusia.

HAMPIR setiap hari kita minum susu bagi mendapatkan nutrisi terutamanya pada waktu pagi dan amalan itu berlaku sejak 8,000 sebelum Masihi lagi!

Meskipun terdapat pelbagai susu gantian daripada bahan sayuran seperti kacang soya dan kacang badam namun susu haiwan tetap menjadi pilihan masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN: Berlambak simpan bekas plastik, sampai ada yang berbau... Jangan bimbang, 3 bahan ini boleh nyahkan aroma kurang enak

Sebenarnya bukan susu lembu dan kambing sahaja yang boleh diminum malah terdapat susu daripada haiwan lain yang turut dijadikan sebagai minuman oleh masyarakat dunia yang lain.

Berikut adalah senarai haiwan yang turut menghasilkan susu dan diminum oleh manusia.

1. Unta

Penduduk di kawasan kering seperti Somalia dan Kenya sudah terbiasa minum susu unta kerana haiwan itu mudah dan banyak membiak di sana.

Unta dapat bertahan dengan tidak minum air selama berhari-hari dan seekor unta dapat menghasilkan sebanyak lima ke 20 liter susu sehari.

Susu unta dikatakan mempunyai rasa mirip dengan susu lembu tetapi lebih berkrim dan berasa masin.

2. Kerbau

Masyarakat di India dan Pakistan lebih gemar minum susu kerbau berbanding susu lembu apatah lagi ia mampu menghasilkan jumlah susu lebih banyak.

Susu kerbau lebih cair dan berwarna putih bersih berbanding susu lembu. Selain diminum, ia juga digunakan sebagai bahan untuk membuatkan bahan-bahan masakan lain.

3. Kuda

Masyarakat Mongolia hampir tidak mengenali susu unta atau susu kerbau kerana selama berabad lamanya, mereka memang minum susu kuda.

Susu kuda ini turut dijadikan Airag iaitu sejenis minuman khas masyarakat Mongolia yang diminum setiap hari. Susu kuda yang sudah ditapis akan disimpan selama dua hari sebelum diproses menjadi bahan makanan yang lain selain diminum begitu sahaja.

4. Yak

Yak adalah haiwan dalam kumpulan lembu tetapi mempunyai saiz dan bulu yang lebih lebat. Kebiasaannya Yak hidup di kawasan sejuk seperti di Tibet dan pergunungan Himalaya.

Sejak berkurun lamanya, penduduk di kawasan itu menjadikan susu dan dagingnya sebagai bahan makanan utama selain susunya mempunyai kadar lemak dan protein lebih tinggi berbanding lembu biasa.

5. Keldai

Keldai juga mampu menghasilkan susu dan ia boleh diminum oleh manusia kerana kandungan nutrisinya yang tinggi selain ia boleh dijadikan bahan masakan lain dan bahan produk kosmetik.

Artikel Lain