suria

Tak dapat balik kampung, Ryzal-Maryam Duriankimchi plan menu 1 Syawal sesuai selera ibu hamil – “Jadi instafamous tak bermakna boleh rentas negeri sesuka hati”

Ryzal dan Maryam menyambut ketibaan Aidilfitri dengan warna merah dan oren sedondon. foto Hijabistahub

HASRAT pasangan instafamous suami isteri Malaysia-Korea Selatan untuk menyambut Aidilfitri di kampung pada tahun ini, tidak kesampaian.

Ia berikutan larangan rentas negeri masih dikekalkan di negara ini, apatah lagi kampung halaman Ryzal 'Duriankimchi' di Kelantan dikuat kuasakan PKP dari 29 April hingga 17 Mei, berikutan kes jangkitan Covid-19 di negeri itu semakin meningkat.

Ryzal, 28, berkata, sejak bernikah dengan isteri, Maryam You Narae, 28, pada 2019, mereka belum berkesempatan berhari raya di Kelantan, dan rancangan asal untuk berbuat demikian selepas kepulangan mereka ke tanah air pada September tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ryzal Duriankimchi 'hati tisu' dapat kejutan Maryam hamil... tekaan Fauziah Nawi tepat! - "Mula-mula tak percaya sebab selalu terkena"

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 3 bulan balik Malaysia, Ryzal Duriankimchi perjelas kenapa masih tak balik Kelantan selepas nikah di Korea Selatan - "Rindu nak cium tangan mama"

"Tahun ini kali ketiga Ryzal tak dapat sambut raya di Kelantan. Dua tahun Ryzal beraya di Korea dan tahun ini masih tak dapat pulang ke kampung walaupun dah balik Malaysia.

"Nampaknya Aidilfitri tahun ini saya masih beraya di perantauan bersama Maryam, bezanya kali ini kami di Kuala Lumpur yang juga dikuat kuasakan PKP," katanya kepada mStar.



Selain merah dan oren, Ryzal (kiri) dan Maryam memilih baju raya warna hitam. foto Hijabistahub

Pemuda yang berasal dari Kota Bharu itu berkata, dia dan isteri akan mengurangkan keberadaan mereka di lokasi tumpuan ramai demi menjaga prosedur operasi standard (SOP).

"Walaupun kami pakai mask, tapi orang ramai boleh mengecam kami, lebih-lebih lagi saya rendah dan Maryam tinggi. Mereka mendekati kami untuk bergambar bersama.

"Saya dan Maryam cuba yang terbaik untuk jaga SOP. Kalau kita tegur nanti peminat terasa, tapi kalau layankan risau gambar akan viral dan kami pula yang akan dipersalahkan," ujarnya yang merujuk kepada beberapa insiden instafamous dan influencer yang tidak mematuhi SOP.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Sehubungan itu, Ryzal dan Maryam mahu mengelakkan daripada sebarang kontroversi yang boleh menimbulkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat ketika pandemik ini.



Ryzal (kanan) dan Maryam beraya secara sederhana di Kuala Lumpur. foto Hijabistahub

"Jika hendak diikutkan, saya boleh saja mohon kebenaran untuk merentas negeri balik ke Kelantan atas urusan kerja kerana ada bisnes urusan jual beli tanah di sana dan memerlukan kehadiran saya untuk berurusan.

"Tapi saya tak mahu bila balik ke Kelantan, orang boleh ambil gambar dan viralkan dengan tujuan tak baik, apatah lagi kampung saya juga di Kelantan. Nanti kecoh, jadi isu dan saya kena menjawab dan pada masa sama tidak mahu Maryam stres sebab dia sedang hamil.

Biarlah saya dan Maryam sama-sama rasa apa yang masyarakat lalui sekarang. Jadi instafamous atau influencer, bukan bermakna bermakna boleh merentas negeri sesuka hati... sensitiviti masyarakat harus dijaga

RYZAL DURIANKIMCHI

"Biarlah saya dan Maryam sama-sama rasa apa yang masyarakat lalui sekarang. Jadi instafamous atau influencer, bukan bermakna boleh merentas negeri sesuka hati... sensitiviti masyarakat harus dijaga," katanya sambil menambah Maryam sedang hamil anak sulung dengan usia kandungan empat bulan.

Terpaksa akur dengan arahan kerajaan, Ryzal dan Maryam menyambut Aidilfitri tahun ini berdua di Kuala Lumpur.



Ryzal dan Maryam menantikan kehadiran cahaya mata sulung.

"Alhamdulillah kami terima banyak tajaan baju Melayu dan baju kurung kerana terlibat dengan beberapa photoshoot iklan dan promosi.

"Kira-kira lapan pasang baju raya yang kami dapat. Tahun ini kami memilih warna merah, oren dan hitam. Ikut perancangan keluarga di Kelantan juga mahu sedondon warna merah," ujarnya yang merupakan anak sulung daripada lima beradik.

Beraya di perantauan, Ryzal dan Maryam akan meneruskan tradisi mereka dengan membuat panggilan video sebagaimana yang dilakukan ketika menyambut Aidilfitri di Korea Selatan.

"Dari segi makanan pula, ikutkan kami berdua suka makan sate dengan kuah kacang bersama nasi impit setiap kali raya. Masa di Korea pun kami bakar sate dan buat kuah kacang.

"Tapi disebabkan Maryam alami alahan hamil tak boleh bau dan makan sate, jadi sediakan saja nasi impit kegemaran Maryam. Makan nasi impit tanpa sate," ujarnya secara berseloroh.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain