suria

Menteri Umno sepakat kekal dalam Kabinet - PM

Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan terus dilaksana.

BARISAN menteri Umno bersetuju untuk kekal dalam Kabinet dan tidak melepaskan jawatan mereka.

Demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu kenyataan media pada Rabu pagi.

"Mereka meminta nasihat saya mengenai kedudukan mereka di dalam Kabinet berikutan keputusan Perhimpunan Agong Umno bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada di dalam Kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.

"Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri Umno akan terus kekal berada di dalam Kabinet," ujarnya.

Tambah Muhyiddin, fokus kerajaan pada masa ini hanyalah untuk membendung pandemik menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan berusaha memulihkan ekonomi negara.

"Beberapa orang menteri dari Umno memegang portfolio-portfolio penting yang berkaitan dengan fokus utama kerajaan pada masa ini.

"Justeru peletakan jawatan mereka dari Kabinet menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara," katanya lagi.

Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan terus dilaksana seperti yang dirancang. - The Star.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain