suria

Insiden SUKE: Projek pembinaan diarah henti sementara - Fadillah

Keadaan kenderaan yang remuk selepas dihempap struktur besi kren yang jatuh di tapak pembinaan SUKE. foto AZHAR MAHFOF/The Star

SUSULAN insiden terbaharu di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) di Kuala Lumpur pada Isnin, Kementerian Kerja Raya telah mengarahkan kerja-kerja pembinaan dihentikan sementara waktu.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pemaju juga diarahkan mengemukakan laporan penuh berhubung kejadian dan pembinaan.

Beliau berkata, jalan raya di sekitar projek pembinaan turut ditutup sehingga tahap keselamatan disahkan benar-benar selamat oleh agensi terbabit

ARTIKEL BERKAITAN: Pihak berkuasa sahkan 6 mangsa insiden kren jatuh di tapak pembinaan SUKE

ARTIKEL BERKAITAN: Kren pembinaan hempap kereta di Lebuhraya SUKE, 3 pekerja asing maut

"Siasatan awal mendapati kontraktor projek pembinaan Lebuh Raya SUKE di kawasan itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Tiada kerja pembinaan dijalankan ketika insiden tersebut sebaliknya hanya kerja penyelenggaraan oleh beberapa pekerja, termasuk mangsa kejadian. Jika berlaku pemasangan beam, jalan raya di sini ditutup," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengulas lanjut, Fadillah mengesahkan bahawa insiden itu membabitkan kontraktor berlainan daripada kejadian yang menyebabkan dua maut apabila perancah besi dalam pembinaan SUKE runtuh di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), 3 Mac lalu.

Fadillah berkata, pelbagai agensi termasuk Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menilai cadangan keselamatan terbaru bagi meneruskan kerja pembinaan di situ.

"Kita sudah mengarahkan bahagian keselamatan daripada pihak pemaju serta kontraktor untuk memberi tindakan dari sudut keselamatan dan ia akan dinilai oleh agensi yang bertanggungjawab," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Prolintas mengesahkan satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan SUKE di Persiaran Alam Damai.

Hasil siasatan awal mendapati tiga pekerja pembinaan warga China meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang pengguna jalan raya cedera. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain