suria

Kerjasama Interpol pantau penjualan vaksin secara online, orang ramai dinasihat berwaspada - “Ada yang tiruan di pasaran”

Orang ramai diingatkan agar berwaspada dengan taktik pihak tertentu yang mengambil kesempatan menjual vaksin secara atas talian.

ORANG ramai diingatkan agar berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menjual vaksin Covid-19 secara dalam talian (online).

Peringatan tersebut disuarakan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Daruk Seri Ismail Sabri Yaakob susulan penularan iklan vaksin berkenaan yang didakwa dijual secara online serta beberapa platform e-dagang.

ARTIKEL BERKAITAN: PM mulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dijadual terima suntikan vaksin petang ini

"Kita dah umumkan Program Imunisasi Kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Malah ada satu jawatankuasa khusus untuk memastikan rakyat yang mendaftar akan dapat vaksinasi. Ramai yang memang ambil kesempatan, bukan je online tapi approach kita kononnya mereka ejen daripada negara atau syarikat tertentu.

"Bagi sesiapa yang ditawarkan, boleh hubungi Mosti atau KKM sebab mereka saja yang tahu sumber atau syarikat yang bawa vaksin terus kepada kerajaan.

"Kalau ada yang kata mereka juga bawa masuk vaksin, itu tak benar. Rakyat jangan mudah tertipu dengan pihak yang claim kononnya diberi peranan oleh kerajaan," katanya dalam sidang media pada petang Khamis.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan menerusi Mosti dan KKM sudah menetapkan perancangan untuk memberikan suntikan vaksinasi kepada rakyat.

"Usah terpengaruh dengan tawaran pihak tertentu yang tak tahu siapa mereka. Saya harap kalau timbul keraguan, boleh merujuk Mosti atau KKM," katanya lagi.

Media terdahulu melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman sedang menyiasat dua kes berkaitan penipuan pembelian vaksin membabitkan kerugian RM285,499.95.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan perkara tersebut sentiasa berada di dalam pemantauan pihak berwajib tempatan dengan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol).

"Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melalui Unit Forensik Siber serta kerjasama dengan pihak berwajib tempatan dan antarabangsa, Interpol sentiasa pantau keadaan semasa dan penjualan vaksin Pfizer atas talian.

"Vaksin yang telah diberikan pendaftaran bersyarat hanya boleh dibekalkan kepada pihak kerajaan dan pihak yang dibenarkan oleh kerajaan. Vaksin ini tak dijual di negara kita.

"Kita dimaklumkan banyak vaksin tiruan telah berada dalam pasaran. Kita nasihatkan orang ramai untuk pastikan dapatkan vaksin daripada KKM dan sumber yang boleh dipercayai," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain