suria

PM mulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dijadual terima suntikan vaksin petang ini

Petugas kesihatan membuat persediaan akhir untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. foto AZHAR MAHFOF/The Star

HARI ini bakal melakar sejarah menyaksikan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual akan menerima suntikan vaksin Covid-19, pukul 2.30 petang Rabu.

Turut menerima pelalian itu adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya kumpulan pertama vaksin Covid-19 tiba di Malaysia pagi ini

ARTIKEL BERKAITAN: Bekalan pertama pada Februari 2021, PM antara individu terawal bakal terima vaksin Covid-19

Ia merupakan simbolik pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang diawalkan daripada Jumaat.

Selain itu, empat petugas perubatan dijangka turut menerima vaksin tersebut.

Suntikan vaksin Covid-19 diadakan di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Presint 11 dan disiarkan secara langsung menerusi televisyen tempatan.

Muhyiddin menawarkan diri sebagai penerima pertama vaksin bagi membuktikan bahawa ia selamat sekali gus untuk menggalakkan lebih ramai rakyat tampil secara sukarela menerima vaksin Covid-19.

Imuniti berkelompok boleh diwujudkan sekiranya 75 peratus daripada penduduk Malaysia menerima vaksin Covid-19.

Malaysia mula menerima vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech pada Ahad dengan jumlah 312,390 dos.

Syarikat farmaseutikal itu dilapor akan membuat penghantaran setiap minggu bagi memenuhi keperluan serantau.

Setakat ini seramai 571,802 petugas barisan hadapan telah berdaftar untuk menerima vaksin Covid-19 pada fasa pertama. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain