suria

2020 tahun penuh duka, hampir 100,000 diberhentikan kerja hingga November

Antara sebab-sebab kehilangan pekerjaan dilaporkan pekerja ialah penutupan perniagaan dan pengecilan tenaga kerja.

PANDEMIK Covid-19 yang melanda ternyata memberi kesan kepada kita semua sepanjang tahun ini.

Ada yang mengalami pemotongan gaji, tak kurang juga yang diberhentikan kerja.

Dalam pada itu, seramai 99,696 orang diberhentikan kerja berdasarkan rekod Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) bermula Januari sehingga 27 November tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, antara sebab-sebab kehilangan pekerjaan dilaporkan pekerja ialah penutupan perniagaan dan pengecilan tenaga kerja.

"Selain itu ialah Voluntary Separation Scheme (VSS) dan Mutual separation Scheme (MSS). Seterusnya, syarikat mengalami masalah kewangan kritikal, diikuti dengan penutupan separa (partial closure).

"Faktor lain ialah pengambilalihan syarikat (acquisition of company) dan penempatan semula syarikat.

"Faktor-faktor di atas adalah disebabkan oleh tekanan dialami oleh semua industri secara global disebabkan pandemik Covid-19 yang di luar kawalan," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab pertanyaan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) berkenaan mengapa seramai 81,217 pekerja kehilangan pekerjaan walaupun Program Subsidi Upah (PSU) dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) telah dilaksanakan kerajaan.

Dalam pada itu, katanya, berdasarkan rekod SIP sehingga 27 November 2020, bilangan kehilangan pekerjaan melibatkan kategori pengurus seramai 13,109 orang, kategori profesional pula melibatkan 26,079 orang dan kategori juruteknik serta profesional bersekutu adalah seramai 19,095 orang.

Menurutnya, kategori tersebut merupakan kalangan pekerja yang berpendapatan RM4,000 ke atas.

Sementara itu, katanya, berdasarkan kepada data Perkeso pula dianggarkan 75 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja adalah daripada golongan B40 yang berpendapatan RM4,000 ke bawah.

"Oleh itu, Program Subsidi Upah yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah disasarkan untuk membantu pekerja yang paling terkesan dalam golongan B40.

"Bagaimanapun, bagi golongan pengurusan yang diberhentikan kerja, mereka masih diberi perlindungan di bawah Akta SIP [Akta 800] tertakluk had gaji maksimum RM4,000.

"Ini bermakna pekerja-pekerja yang bergaji melebihi RM4,000 termasuk golongan pengurusan akan mendapat faedah seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP)," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga sedar masih ramai pekerja terkesan terutama sektor pelancongan.

"Dengan ini, kerajaan melalui Belanjawan 2021 akan melanjutkan pelaksanaan Program Subsidi Upah (PSU) selama tiga bulan lagi dengan lebih bersasar, khususnya bagi sektor pelancongan termasuk sektor peruncitan dengan kadar RM600 sebulan bagi pekerja bergaji RM4,000 dan ke bawah," katanya. - Sinar Harian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain