suria

Perhatian! KWSP umum dua kategori ahli layak mohon i-Sinar, permohonan secara berperingkat bermula 21 Disember

Program i-Sinar dibuka untuk kesemua 8 juta pencarum KWSP yang terjejas.

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Rabu mengumumkan dua kategori membabitkan lapan juta ahlinya yang layak memohon skim i-Sinar.

Menerusi satu kenyataan, KWSP memaklumkan kategori 1 adalah melibatkan mereka yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

"Kriteria bagi Kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan; atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

"Bagi kategori ini tiada dokumen sokongan diperlukan dan kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP," kata kenyataan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Berita baik! Program i-Sinar untuk 8 juta pencarum KWSP yang terjejas, pengeluaran maksimum meningkat kepada RM10,000

Pemohon bagi kategori 1 boleh mula membuat permohonan secara dalam talian pada 21 Disember ini dengan pembayaran kepada ahli yang layak akan dibuat pada pertengahan Januari 2021.

Sementara itu bagi Kategori 2 pula adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas.

“Ia termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa selepas Mac 2020, yang mana pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan," katanya.

Pemohon bagi kategori ini boleh membuat permohonan bermula pada 11 Januari 2021.

Untuk melancarkan proses pengesahan, KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada ahli iaitu slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan.

"Notis pemberhentian atau pemotongan elaun atau tuntutan kerja lebih masa.

"Jika dokumen tersebut tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan," ujarnya.

Kenyataan itu juga memaklumkan, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat, di mana pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya selepas kelulusan diberi.

Jumlah kelayakan i-Sinar tertakluk kepada baki simpanan akaun satu ahli berdasarkan butiran terkini seperti berikut:

- Ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam akaun satu boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

- Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM100,000 dalam akaun satu boleh membuat pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000 (yang mana lebih rendah) daripada akaun satu.

Kenyataan itu menambah, pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.

Dalam pada itu, ahli digalakkan untuk mendaftar i-Akaun, mengemas kini nombor telefon bimbit untuk menerima Transaction Authorisation Code (TAC) di kios atau kaunter KWSP dan memastikan nombor akaun bank mereka adalah aktif bagi memastikan kelancaran proses permohonan. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

i-Sinar, pemohon, kategori layak, KWSP

Artikel Berkaitan

Artikel Lain