suria

Tun M tawar diri jadi saksi kes saman Azmin - “Saya sedia membantu”

Tun Dr Mahathir menawarkan diri menjadi saksi di mahkamah bagi kes saman yang difailkan 10 pengundi terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

TUN Dr Mahathir Mohamad bersedia menawarkan diri menjadi saksi di mahkamah bagi kes saman melibatkan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menerusi satu hantaran di Facebook, bekas Perdana Menteri itu berkata, kesediaannya itu susulan terdapat beberapa pernyataan yang difailkan oleh 10 orang pengundi berdaftar di Parlimen Gombak dilihat selari dengan apa yang beliau kemukakan sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bagi mereka Tun M merencanakan semua ni” - Pembantu Dr Mahathir dedah kisah di sebalik ‘Langkah Sheraton’

"Saya dapati pernyataan tuntutan mengandungi antara lain Langkah Sheraton dan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memecah belah gabungan Pakatan Harapan (PH), kerajaan yang sah yang dipilih oleh rakyat.

"Terdapat juga pernyataan bahawa saya tidak menghadiri pertemuan di Hotel Sheraton pada 23 Februari lalu. Juga dinyatakan saya telah meletak jawatan pada 24 Februari 2020. Ini adalah seperti selalu saya tekankan bahawa perpecahan gabungan PH adalah akibat dari Langkah Sheraton.

"Saya sedia menawarkan diri sebagai saksi di mahkamah sekiranya keterangan saya diperlukan. Saya sedia membantu," katanya.

Terdahulu, seramai 10 pengundi berdaftar dalam kawasan Parlimen Gombak memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari melalui Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan PH tumbang Februari lalu.

Kesemua plaintif memfailkan saman itu pada 27 November lalu dengan menamakan Mohamed Azmin selaku defendan tunggal. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain