suria

Tiga kali menyelinap keluar hotel ketika dikuarantin, lelaki berusia 24 tahun direman 3 hari

Seorang lelaki berusia 24 tahun direman selama 3 hari kerana melanggar arahan kuarantin, dalam tiga kejadian yang berbeza. Gambar hiasan

POLIS telah menahan seorang lelaki berusia 24 tahun kerana melanggar arahan kuarantin, dalam tiga kejadian yang berbeza.

Lelaki tempatan itu ditahan pada Isnin petang (30 November) dan direman selama tiga hari mulai Selasa (1 Disember).

Lelaki itu terdahulu telah ditempatkan di sebuah hotel untuk dikuarantin sebaik tiba di Miri dari destinasi berisiko tinggi Covid-19 pada 16 November lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak serik! Lagi geng gelang pink selamba makan di restoran

Namun, dia didapati meninggalkan hotel pada tiga hari yang berbeza selama beberapa jam pada satu-satu masa.

Menurut kenyataan polis, rakaman CCTV hotel menunjukkan bahawa dia telah keluar dari hotel pada 20 November dan pergi selama kira-kira enam jam sebelum kembali semula ke biliknya.

Dia sekali lagi meninggalkan hotel pada 21 November selama kira-kira tiga jam.

Pada 22 November, dia keluar dari hotel sekali lagi pada waktu malam.

Pada Isnin (30 Nov), lelaki berkenaan ditahan reman selepas tempoh kuarantinnya berakhir.

Menurut polis, lelaki itu memberitahu bahawa dia meninggalkan pusat kuarantin terbabit untuk pergi ke rumah keluarganya ketika disoal siasat.

Lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain