suria

Polis nasihat orang awam tidak berada di luar kawasan pintu Istana Negara hari ini

Orang awam yang tidak mempunyai sebarang urusan agar tidak berada di kawasan luar pintu Istana Negara pada Ahad bagi mengelakkan kesesakan. -foto Bernama

ORANG awam yang tidak mempunyai sebarang urusan dinasihatkan agar tidak berada di kawasan luar pintu Istana Negara, pada Ahad.

Peraturan itu berikutan satu mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja dijadual akan diadakan di Istana Negara, bermula 2.30 petang Ahad.

Semua petugas media dan agensi berkaitan yang akan bertugas dan berada di sekitar kawasan Istana Negara hari ini diingatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: PM persembah cadangan, Agong berkenan adakan rundingan bersama Raja-Raja Melayu - Istana Negara

Ketua Polis Daerah Brickfield, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, aplikasi pendaftaran MySejahtera akan digunakan dan semua pihak wajib memakai pelitup muka, membuat pemeriksaan suhu badan dan mendaftar kehadiran di kaunter yang disediakan.

"Petugas media akan dibenarkan untuk memasuki kawasan khas yang disediakan dengan petak khas penjarakan fizikal," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Zairulnizam menegaskan petugas media tidak dibenarkan untuk bergerak dan berada di atas jalan raya bagi mengelakkan gangguan lalu lintas.

Polis turut menasihatkan orang awam yang tidak mempunyai sebarang urusan agar tidak berada di kawasan luar pintu Istana Negara bagi mengelakkan kesesakan.

Zairulnizam berkata, kegagalan mematuhi SOP yang ditetapkan akan dikenakan tindakan kompaun serta-merta mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Sementara, sebarang tindakan provokasi oleh mana-mana pihak akan diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkaitan, katanya.

"Semua pihak juga diingatkan agar terus patuh SOP yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran majlis dan mengelakkan penularan kes COVID-19 yang semakin meningkat ketika ini," katanya. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain