Spekulasi darurat dijangka diisytihar bertiup kencang, PM menghadap Agong

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusi mesyuarat Kabinet, pagi Jumaat.

DIKEMASKINI

KERAJAAN dijangka akan mengisytiharkan darurat bagi menangani penularan wabak Covid-19 yang merekodkan peningkatan kes sejak seminggu lalu, selain meredakan ketegangan politik.

The Star melaporkan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin difahamkan telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang pada petang Jumaat.

Sementara itu dalam laporan berasingan Bernama melaporkan, kenderaan yang membawa Perdana Menteri dilihat memasuki pagar Istana Abdulaziz pada kira-kira 4.40 petang, diiringi pasukan keselamatan dan sejumlah kenderaan rasmi kerajaan negeri Pahang.

Turut kelihatan memasuki Istana Abdulaziz ialah kenderaan rasmi Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Pengamal media mula berkumpul di laluan masuk ke istana itu seawal 2.30 petang, selepas ura-ura Perdana Menteri akan menghadap Seri Paduka mula tersebar sejak tengah hari tadi.

Muhyiddin terdahulu mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya pagi tadi, dipercayai bagi membincangkan isu-isu semasa.

Turut dilihat memasuki Perdana Putra ialah kenderaan yang membawa menteri-menteri Kabinet dan PAT Affendi Buang.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain