suria

Terkini 25 kes baharu Covid-19, Kluster Tawar cecah 39 kes

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. Foto Bernama

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 25 kes baharu, menjadikan keseluruhan 9,200 kes setakat Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 216 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, daripada 25 kes baharu yang dilaporkan, 16 kes adalah jangkitan di luar negara yang melibatkan 11 warganegara Malaysia dan lima warga asing.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada sembilan kes penularan di dalam negara, tujuh kes dalam kalangan warganegara dan dua bukan warganegara.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes," katanya dalam satu kenyataan, petang Ahad.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 28 kes yang telah pulih Covid-19 pada Ahad dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 8,859 kes.

"Sehingga kini, terdapat tujuh kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Mengenai Kluster Tawar, Dr Noor Hisham berkata, terdapat enam kes baharu dilaporkan pada Ahad iaitu lima kes di Kedah dan satu kes di Pulau Pinang.

"Ini menjadikan jumlah kes dikesan positif Covid-19 bagi kluster ini sebanyak 39 kes.

"Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kluster ini dan situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain