suria

Covid-19: Brickfields, Sepang dan Kuching catat 3 kluster baharu di negara ini

Malaysia catat 15 kes positif pada Ahad.

SELAIN peningkatan 15 kes positif Covid-19 pada Ahad, Malaysia turut merekodkan tiga lagi kluser baharu.

Perkara itu diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan pada Ahad petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki 72 tahun korban ke-123 Covid-19, Malaysia catat 15 kes baharu hari ini

Menurut Dr Noor Hisham, ia melibatkan kluster rumah kongsi Sepang, Selangor; kluster restoran di Brickfields, Kuala Lumpur dan kluster jeti di Kuching, Sarawak.

Berikut merupakan perincian tiga kluster tersebut:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan sebuah kluster baharu yang telah dikesan di sebuah tapak pembinaan di Sepang, Selangor.

Sehingga 19 Julai 2020 jam 12 tengah hari, 96 orang pekerja telah disaring, iaitu terdiri daripada sembilan warganegara Malaysia dan 87 bukan warganegara iaitu 63 warga Indonesia, 22 warga Bangladesh dan dua warga Myanmar.

Keputusan persampelan setakat ini mendapati 94 individu negatif dan dua disahkan positif.

Bagi kluster restoran Kuala Lumpur, seramai 250 orang iaitu 14 orang pekerja restoran dan 236 pelanggan restoran telah disaring.

Daripada jumlah saringan ini, 250 orang telah disampel, keputusan persampelan setakat ini adalah 248 negatif dan dua positif.

Bagi kluster jeti Kuching, 25 orang nelayan telah disaring dan keputusan persampelan setakat ini adalah 23 negatif dan dua positif.

Pada Sabtu, Dr Noor Hisham turut mengumumkan empat kluster baharu di negara ini.

Ujarnya, ia melibatkan individu dalam siasatan (PUI) Pitakwa, PUI Shirala, Pusat Perubatan Kuching dan Jupiter.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain