suria

Buat ‘comeback’... Utusan Malaysia, Kosmo! dijangka kembali bulan depan

Utusan Malaysia dijangka beroperasi pada bulan depan.

UTUSAN Malaysia, yang dihentikan penerbitannya pada tahun lalu, dijangka kembali beroperasi pada bulan depan, bersama akhbar tabloid di bawah penerbitan yang sama, Kosmo!

Menurut kedua-dua laman web tersebut, terdapat grafik animasi menyebut: "Nantikan Julai ini. Dibawakan oleh Media Mulia Sdn Bhd."

Aurora Mulia dikaitkan dengan taikun, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang mempunyai pegangan saham sebanyak 31.22 peratus Media Prima Bhd, kini merupakan konglomerat media terbesar di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Operasi 80 tahun berakhir, kakitangan Utusan Malaysia diminta kemas barang, pulangkan harta syarikat

Media Prima juga merupakan syarikat induk New Straits Times Press (NSTP) yang menerbitkan tiga akhbar iaitu New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.

Terdahulu, dilaporkan bahawa pengerusi eksekutif Utusan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir mengumumkan bahawa aliran tunai yang lemah, hutang yang meningkat dan jualan yang merudum menyebabkan lembaga pengarah membuat keputusan untuk menghentikan operasi.

Difahamkan, ibu pejabat Utusan yang baharu akan berpusat di pejabat utama NSTP di Jalan Riong di Bangsar, Kuala Lumpur.

Turut dimaklumkan bahawa syarikat tersebut telah mendapatkan kira-kira 170 staf baharu termasuk wartawan, jurugambar, pereka grafik, pereka kreatif dan juga pegawai pemasaran.

Tiada biro di Sabah dan Sarawak.

Mohamad Azlan Jaafar, yang merupakan ketua pengarang Malaysian Reserve disebut-sebut sebagai ketua editor baharu Utusan, sementara beberapa bekas editor Utusan yang lain telah dilantik untuk membantunya.

Pada Oktober tahun lalu, seramai 862 kakitangan Utusan kehilangan pekerjaan berikutan krisis kewangan yang berpanjangan.

Pada bulan berikutnya, bekas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mengumumkan Utusan akan memulakan operasinya pada awal tahun ini.

Utusan pertama kali diterbitkan dalam tulisan Jawi pada 1939 sebelum beralih ke tulisan Rumi pada 1967. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain