suria

Lewat 10 hari bertindak terhadap kluster tabligh dianggap cabaran, kini Malaysia sasar satu angka kes harian Covid-19 pertengahan Mei

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. Foto Bernama

MALAYSIA meramalkan kes-kes positif Covid-19 menurun kepada satu digit menjelang pertengahan Mei depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jangkaan itu dapat dilakukan menerusi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam tempoh seminggu ini kita sudah capai dua angka (kes).

“Kita mengunjurkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi, mungkin pertengahan Mei kita akan dapat satu angka.

“Tapi kita sama-sama kena amalkan norma-norma baharu kita bukan sahaja Kementerian Kesihatan tetapi juga rakyat Malaysia. Jika tak ada keperluan, duduk rumah paling selamat, kebolehjangkitan akan berkurangan,” katanya pada sidang media, petang Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai unjuran satu digit kes positif Covid-19 memandangkan angka tersebut telah dicapai oleh Thailand meskipun negara jiran itu mempunyai jumlah populasi yang jauh lebih tinggi berbanding Malaysia.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan jumlah kes Covid-19 yang tinggi susulan jangkitan yang berpunca daripada perhimpunan tabligh di Seri Petaling.

“Kita lewat lebih kurang sembilan hari, selepas mereka (peserta tabligh) pulang ke kampung dan mukim masing-masing pada 1 Mac dan saya diberitahu oleh rakan sejawat di Brunei pada 9 Mac.

“Tindakan kita sudah 10 hari lewat. Kes tu sudah merebak ke kampung dan mukim. Kalau dibandingkan, Thailand tak ada kes tabligh.

“Walaupun kita ada kes tabligh, tapi kita berjaya mengekang penularan seterusnya. Itulah cabaran kita.

“Kalau kita tak ada perhimpunan Seri Petaling dengan 16,000 orang berhimpun, mungkin kes kita pun kurang daripada Thailand,” katanya sambil menambah bahawa antara 30 dan 40 peratus daripada jumlah kes di Malaysia berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh.

Artikel Lain